Hayati khutbah mengenai fitnah: Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin
Sultan Sharafuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru umat Islam di Selangor agar memahami dan menghayati intipati khutbah Jumaat bertajuk 'Fitnah Merosakkan Ummah' yang dibacakan oleh khatib di masjid-masjid seluruh Selangor pada Jumaat.

Baginda menerusi satu hantaran di Facebook Selangor Royal Office mengingatkan bahawa perbuatan memfitnah dan menabur fitnah akan mengundang kepada perpecahan serta punca timbulnya salah faham dalam kalangan masyarakat.

Titahnya, perseteruan dalam kalangan pemimpin yang menggunakan senjata fitnah juga akan menjerumuskan negeri dan negara ke lembah kemusnahan.

"Sesungguhnya tabiat tuduh menuduh dan memfitnah itu membawa kepada kehancuran sesama sendiri dan tidak mendatangkan sebarang manfaat kerana ia menyebabkan ketidakharmonian dalam kehidupan masyarakat kita hari ini," titahnya pada Jumaat.

Dalam pada itu, baginda bertitah, budaya fitnah mesti dihindari kerana ucapan dan tulisannya boleh melahirkan persepsi salah yang membawa kebencian, persengketaan sesama sendiri, membunuh identiti serta menyebabkan kehinaan kepada seseorang.

Titahnya, ada juga dalam kalangan ahli-ahli daripada parti-parti politik yang sanggup mereka-reka fitnah dan menghasut rakyat dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan palsu antara satu sama lain dengan matlamat untuk menjadi hero kepada rakyat.

"Fitnah itu lahir daripada hati seseorang yang sombong, bongkak, kotor, bermasalah dan tidak dibenteng dengan iman yang teguh. Justeru sebagai muslim, berhati-hati terhadap setiap perkara yang kita tuturkan mahupun yang kita tulis dan sebarkan, kerana ia akan memberi kesan yang amat besar kepada orang lain," titahnya.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan mengenai khutbah Jumaat yang membicarakan tentang bahaya fitnah yang boleh menyebabkan masyarakat porak-peranda dan merosakkan ummah.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!