KPDNHEP, MAFI pastikan bekalan telur cukup menjelang puasa, raya

Rosol Wahid (dua dari kanan) bersama Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia (kiri) memantau penjualan telur ayam pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Kampung Batu Hampar, Manir pada Sabtu. -Foto: Bernama
Rosol Wahid (dua dari kanan) bersama Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia (kiri) memantau penjualan telur ayam pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Kampung Batu Hampar, Manir pada Sabtu. -Foto: Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sudah bersiap sedia dengan pelan intervensi bagi memastikan bekalan telur ayam di seluruh negara mencukupi untuk kegunaan pada bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, ini kerana pihaknya menjangka pada waktu berkenaan permintaan terhadap telur ayam akan menjadi lebih tinggi berbanding hari biasa.

Beliau berkata, KPDNHEP dan MAFI juga akan melaksanakan advokasi berterusan dengan pengusaha telur ayam bagi memastikan kestabilan bekalan menjelang musim perayaan itu.

"Kita sudah maklumkan kepada MAFI untuk diambil tindakan dan saya difahamkan kementerian itu telah ambil langkah untuk pastikan (bekalan telur mencukupi) kerana kita tahu menjelang puasa dan raya ramai orang akan buat kuih dan sebagainya. Jadi penggunaan telur akan lebih daripada biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Dataran Restoran Ikan Bakar di Manir pada Sabtu.

Sementara itu, Rosol berkata, pihaknya telah mengesan 95 kesalahan berkaitan penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam membabitkan 94 peruncit dan satu pemborong di seluruh negara, dari 5 Februari lalu hingga Jumaat.

Katanya, daripada jumlah itu, 87 kes melibatkan kesalahan tiada tanda harga khas merah jambu, tujuh kes menjual ayam dan telur ayam melebihi harga maksimum dan satu kes tiada tanda harga.

"Rekod kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan ke atas 11,036 peruncit dan 232 pemborong seluruh negara. Nilai keseluruhan kompaun yang dikeluarkan adalah RM14,700, manakala nilai keseluruhan sitaan sebanyak RM8,733.54,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan sebelum ini bersetuju memberi subsidi 60 sen per kilogram kepada penternak ayam dan lima sen bagi sebiji telur semua kategori bermula 5 Februari hingga 4 Jun, iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!