Minuman keras bernilai RM470,400 dirampas

Paul menunjukkan minuman keras berjenama yang dirampas.
Paul menunjukkan minuman keras berjenama yang dirampas.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 120 kotak minuman keras berjenama bernilai RM470,400 selepas menahan sebuah kenderaan 'pick up' di Taman Pulai Bayu, di sini, semalam.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, bertindak hasil maklumat awam, pihaknya berjaya mengesan kenderaan yang mencurigakan itu, selain disyaki menyimpan minuman keras tidak bercukai kastam.

Menurutnya, selepas hampir dua jam membuat pemantauan, seorang lelaki dipercayai pemilik menghampiri dan membuka pintu kenderaan tersebut.

"Pegawai operasi mengarahkan anggota operasi membuat penahanan dan pemeriksaan terhadap lelaki dewasa tersebut. Pasukan operasi terus bertindak menahannya dan memeriksa kenderaan itu.

"Hasil pemeriksaan menjumpai sejumlah minuman keras yang tidak bercukai kastam sebanyak 120 kotak," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Paul berkata, di dalam 120 kotak itu, terdapat 552 botol minuman keras jenama Maxwel Blended Scotch Whisky 1 liter, 552 botol minuman keras jenama King Robert Blended Scotch Whisky II 1 liter dan 336 minuman keras jenama King Robert Blended Scotch Whisky II 750 ml.

Katanya, turut dirampas sebuah kenderaan tersebut bernilai kira-kira RM40,000 yang menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM510,400.

"Kesalahan tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Beliau berkata, PPM sentiasa komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan minuman keras serta semua jenis jenayah melibatkan perairan negara serta rentas sempadan.
Artikel Berkaitan:


"Operasi berterusan akan dilaksanakan oleh PPM di seluruh perairan dan pesisir pantai Malaysia sejajar dengan dasar kerajaan yang baru bagi membanteras pengaliran hasil negara secara haram," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!