Pencari kerja pilih ekonomi gig jika gaji minimum tidak meningkat
KUALA LUMPUR - Pekerjaan dalam sektor ekonomi gig bakal menjadi pilihan utama individu yang menganggur sekiranya gaji minimum tidak dinaikkan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, perkara itu secara tidak langsung menjadi cabaran besar buat kerajaan dalam usaha 'memujuk' pencari kerja untuk merebut peluang yang ditawarkan di bawah program padanan kerja kelolaan kementerian itu.
“Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang mengkaji untuk meningkatkan gaji minimum bagi memastikan golongan yang memilih pekerjaan sektor ekonomi gig mengambil peluang pekerjaan sedia ada.
“Menerusi latihan yang disediakan serta program bekerja di rumah, rakyat Malaysia yang hilang peluang pekerjaan telah mencapai pendapatan lebih RM1,200, maka ini sangat mencabar (kepada kerajaan). KSM adakan Penjana Kerjaya untuk mencari, mengenalpasti, memujuk pihak majikan untuk memberikan satu pendapatan lumayan.
"Kalau tidak, mereka yang masih menganggur akan pilih (pekerjaan) ekonomi gig sekiranya tidak dapat pendapatan melebihi RM1,200," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Ahad.
Majlis berkenaan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan turut dihadiri Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Mengulas lanjut Saravanan berkata, sektor kritikal seperti pelancongan yang terjejas akan turut diberi tumpuan di bawah Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia sebagai menyokong pemulihan dalam industri berkenaan.
"Menerusi usaha seperti ini, diharapkan isu pengangguran dalam kalangan Keluarga Malaysia dapat ditangani dengan berstruktur, berkesan dan menyeluruh.
"Saya juga sudah mengarahkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebagai penyedia perkhidmatan pekerjaan negara untuk mengadakan lebih banyak program untuk membantu ramai pencari kerja mendapatkan bantuan penempatan pekerjaan.
"Ingin saya mengulangi komitmen KSM dalam menggalas tanggungjawab yang diamahkan kerajaan serta meneruskan usaha dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada orang ramai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!