Kraftangan Malaysia sasar jualan RM1.5 juta menerusi FKTPT
KUANTAN - Kraftangan Malaysia menyasarkan RM1.5 juta hasil jualan daripada penganjuran Festival Kraf Tekstil Pantai Timur (FKTPT) 2022 bermula pada Sabtu sehingga 26 Februari ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, sasaran itu dapat dicapai apabila 60 lot jualan disediakan kepada usahawan kraf bagi mempromosi produk mereka.
Menurutnya, daripada data penganjuran sebelum ini, FKTPT telah mencatatkan jualan yang menggalakkan iaitu RM660,000 pada 2019 dan meningkat RM870,000 pada 2020.
"Kita yakin segala program yang dirancang oleh Kraftangan Malaysia adalah untuk memastikan usahawan dan komuniti kraf dapat bangkit semula setelah hampir dua tahun terkesan akibat Covid-19," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian FKTPT 2022 di East Coast Mall di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Aididah Ibrahim dan Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Dr Tan Awang Besar.
FKTPT 2022 dilaksanakan dengan gabungan dari tiga negeri Zon Pantai Timur iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu. Gabungan usahawan kraf tekstil khususnya songket, batik dan tenun Pahang serta komuniti kraf berjaya menonjolkan keunikan serta keindahan produk kraf melalui pelbagai rekaan, motif serta inovasi dalam penghasilan produk kraf tekstil.
Sebanyak 24 koleksi tekstil diperagakan hasil daripada usahawan kraf dan pelajar Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Mariam.
Mengulas lanjut festival itu, Santhara berkata, produk-produk kraf tekstil ini merupakan aset negara yang tidak ternilai harganya dan antara bidang kraf yang menjadi penyumbang utama kepada nilai jualan produk kraf di Malaysia.
Katanya, ini terbukti apabila songket disenaraikan di bawah Represenative list of the Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris, Perancis pada penghujung tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!