Tangani isu pengangguran elak jurang pendapatan
KUALA LUMPUR - Kadar pengangguran global dijangka kekal pada tahap 207 juta tahun ini berbanding 186 juta yang dicatatkan pada 2019.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) itu secara tidak langsung akan memperdalamkan jurang pendapatan di seluruh dunia termasuk Malaysia, selain mampu melemahkan struktur ekonomi, kewangan dan sosial negara sekiranya tidak ditangani.
Justeru menurutnya, dasar-dasar kerajaan yang ada kini bertujuan mengelak kesan jangka panjang terhadap pasaran buruh, pendapatan isi rumah dan perpaduan sosial.
“Kerajaan telah mengambil langkah proaktif melalui penubuhan Majlis Pekerjaan Negara (NEC) pada tahun lalu.
“Majlis dipengerusikan Perdana Menteri itu sejajar dengan hasrat kerajaan dalam memastikan pemulihan dan rangsangan sektor ekonomi di Malaysia berdasarkan pendekatan menyeluruh yang berpandukan data dan sepadan dengan permintaan industri semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dan Karnival JaminKerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Ahad.
Majlis tersebut disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Dalam pada itu Tengku Zafrul berkata, Bajet 2022 menumpukan usaha kepada inisiatif- inisiatif yang akan meningkatkan daya saing dan tarikan bagi para pelabur.
Katanya, usaha tersebut antaranya langkah yang akan memudahcara perniagaan dan pelbagai insentif cukai yang bakal mencipta peluang pekerjaan di samping melonjakkan lagi ekonomi negara.
“Melalui inisiatif JaminKerja yang dilancarkan hari ini, kerajaan telah mengambil semangat konsep 'jobs guarantee'.
“Saya yakin kerajaan akan dapat mengulangi semula kejayaan tahun lalu yang mana pencapaian telah melebihi sasaran.
"Hampir 560,000 peluang pekerjaan berjaya dicipta berbanding sasaran awal iaitu 500,000 bagi 2021,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!