PRN Johor: PKR umum tujuh lagi calon, empat muka baharu
PASIR GUDANG - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan tujuh lagi calon mereka yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi kawasan zon timur dan zon tengah.
Pengumuman itu dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis di Dewan Serbaguna Kampung Kopok Baru di sini pada Sabtu.
Empat daripada tujuh calon berkenaan merupakan muka baharu.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim, 62, akan kembali bertanding mempertahankan kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14)
Seorang lagi yang pernah menjadi calon ialah Ketua Cabang PKR Pontian, Haniff@Ghazali Hosman, 42, yang sebelum ini bertanding dalam PRU13 di Parlimen Pontian tetapi kini bertanding di DUN Benut.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Omar Mokhtar A Manap, 29, bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama dan Naib Ketua Wanita PKR Johor, Haryati Abu Nasir, 52, bagi DUN Semarang.
Sementara Ketua Cabang PKR Tanjung Piai, Mohd Zaiful Bakri, 43, (DUN Kukup); Timbalan Ketua Wanita PKR Johor, Zulinah A Johari, 47, (DUN Tenggaroh) dan aktivis PKR, Rosman Tahir, 53, (DUN Tanjung Surat).
Menerusi pengumuman pada Sabtu, PKR telah selesai mengumumkan kesemua 20 calon yang akan mewakili parti itu dalam PRN Johor 12 Mac ini.
Pada 15 Februari, Anwar mengumumkan calon PKR bagi kawasan zon tengah, zon selatan dan zon utara.
Sementara itu, Khairuddin, yang sebelum ini bertanding PRU14 atas tiket Parti Amanah Negara (Amanah) berharap, rekod cemerlangnya ketika menjadi ADUN Senggarang akan menjadi asas kepada pemilihan dirinya kali ini.
"Saya berharap penduduk di DUN Rengit akan dapat menerima saya seadanya, sekaligus membawa kepada kemenangan Pakatan Harapan pada kali ini," katanya ditemui pemberita selepas majlis pengumuman calon.
Omar Mokhtar pula yang merupakan calon paling muda PKR bagi PRN Johor berkata, pengumumannya sebagai calon merupakan hadiah paling manis sempena hari lahirnya yang ke-29 hari ini.
Beliau akan memperjuangkan isu-isu rakyat seperti kos sara hidup meningkat, peluang pekerjaan dan Undi18, pada kempen beliau nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!