Dua kilang cemar alam sekitar dikompaun RM414,000
SHAH ALAM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengeluarkan kompaun sejumlah RM414,000 ke atas dua buah kilang perindustrian di kawasan Klang Utara kerana didapati gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
JAS menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan, tindakan tersebut diambil menerusi satu siri Ops Gempur Bil. 2022 yang dijalankan pada Selasa hingga Khamis lalu.
Menurut hantaran tersebut, operasi tersebut disertai oleh 34 orang pegawai penguat kuasa yang menjalankan pemeriksaan ke atas 54 premis yang terletak di kawasan perindustrian Klang Utara.
“JAS Selangor juga mengenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) ke atas dua buah kilang yang melakukan kesalahan serius mencemarkan alam sekitar.
“Tindakan memberhentikan sementara operasi kilang ini diambil bagi memastikan langkah kawalan dan pembaikan segera dapat dijalankan oleh pihak terbabit dalam usaha menangani kejadian pencemaran yang berlaku,” kata hantaran tersebut pada Sabtu.
Dalam pada itu, JAS turut memaklumkan pihaknya sentiasa komited dan memandang serius sebarang kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Ujarnya, orang ramai yang ingin membuat aduan berkenaan pencemaran alam sekitar boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727, email ke aduan_k@doe.gov.my atau ke portal aduan https://eaduan@doe.gov.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!