Skuad lelaki negara yakin dakap trofi BATC 2022
SKUAD badminton lelaki negara berpeluang mencipta sejarah muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 (BATC) buat kali pertama apabila bakal membuat perhitungan dengan musuh tradisi Indonesia dalam aksi final, esok.
Pemain perseorangan utama negara Lee Zii Jia sudah pasti tidak mahu mensia-siakan peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri di Pusat Konvensyen Setia City sekali gus merealisasikan impian menjulang trofi BATC 2022.
"Sudah sampai final siapa tidak mahu jadi juara, sasaran seterusnya adalah menjadi juara,” katanya kepada pemberita.
Skuad lelaki negara menepati ramalan apabila mengesahkan tiket ke perlawanan akhir selepas mengecewakan Korea Selatan 3-0 dalam aksi separuh akhir.
Juara All England yang menyumbang mata pertama negara selepas menewaskan Jeon Hyeok Jin 13-21, 21-13, 21-15 berharap dapat memperkemaskan gaya permainannya termasuk mengawal angin ketika dalam gelanggang yang menjejaskan konsentrasinya selain mengurangkan kesilapan mudah dalam perlawanan petang esok.
Sementara itu, pemain beregu lelaki, Soh Wooi Yik yang kecewa dengan prestasi buruk dalam perlawanan semalam, mengakui melepaskan geram dengan ‘membaling’ jersi ke arah peminat selepas menempuh perlawanan mendebarkan bersama Aaron Chia, mengalahkan Kim Hwi Tae-Kim Jaehwan 21-14, 20-22, 21-19 hari ini.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo itu tewas mengejut kepada gandingan ke-857 dunia Ayato Endo-Yuta Takei dari Jepun 21-23, 16-21 dalam aksi terakhir Kumpulan B, semalam.
"Semalam kalah dengan pasangan ranking lebih rendah dan saya semestinya tidak selesa dengan kekalahan itu namun saya tetap puas hati menang perlawanan ini,” katanya.
Bagi Aaron pula, beliau berharap agar rakan sepasukan kekal fokus untuk menjuarai BATC 2022 memandangkan mereka mempunyai kelebihan dibarisi skuad utama berbanding Indonesia yang mempertaruhkan skuad kedua mereka dalam edisi kali ini.
Bagi seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, yang mengesahkan mata kemenangan negara selepas mengatasi Kim Joo Wan 19-21, 21-16, 21-12 pula berharap dapat menjelmakan prestasi lebih baik pada aksi terakhir.
"Bukan sahaja mesti menang (final), tapi sudah pasti kami akan bermain bersungguh-sungguh,” katanya.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi separuh akhir, Indonesia mengesahkan pertemuan dengan Malaysia pada final selepas menewaskan Singapura 3-2, untuk memburu kejuaraan keempat berturut-turut kejohanan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!