Robot bersih lantai hospital pertama dicipta di Malaysia
TAMPIN - Sekumpulan anak tempatan daripada syarikat penyedia solusi robotik Ideasparq Robotics Sdn Bhd (Ideasparq Robotics) mencatat sejarah tersendiri, apabila berjaya mencipta robot pembersihan lantai buatan Malaysia yang pertama untuk kegunaan di hospital di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Ideasparq Robotics, Asyraf Abdul Rahman berkata, kejayaan itu seiring dengan pembangunan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) apabila ia melibatkan 100 peratus tenaga kerja tempatan terdiri daripada 20 siswazah universiti dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan, reka bentuk dan teknologi maklumat (IT).
Beliau berkata penghasilan robot pembersihan lantai itu, yang mempunyai fungsi empat dalam satu iaitu cuci, mop, sapu dan vakum, dimulakan pada 2020 dan mengambil masa enam bulan untuk disiapkan dengan kos keseluruhan RM600,000 bagi sebuah robot termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D).
"Kita telah bekerjasama dengan syarikat konsesi perkhidmatan sokongan hospital Medivest Sdn Bhd, iaitu membekalkan mereka dua hingga tiga unit robot pembersihan lantai di tiga hospital iaitu Hospital Tampin di sini, Hospital Jasin, Melaka dan Hospital Sultan Ismail di Johor.
"Matlamat kami adalah untuk memastikan proses pembersihan dan pencucian serta sanitasi di hospital dijalankan dengan selamat memandangkan robot ini bergerak secara automatik,” katanya ketika ditemui Bernama di Hospital Tampin di sini, pada Sabtu.
Menurutnya hasil penyelidikan mendapati kualiti pembersihan dengan menggunakan robot tersebut meningkat sebanyak 60 peratus berbanding proses pembersihan secara manual.
Asyraf berkata, ciptaan tersebut juga bertepatan keperluan norma baharu terutama apabila negara menghadapi penularan Covid-19, dengan mewujudkan persekitaran yang selamat khususnya kepada pekerja pembersihan di hospital.
"Ia mengurangkan penglibatan pekerja, sekali gus risiko pendedahan terhadap penularan virus Covid-19 juga rendah apabila robot ini boleh menjalankan pembersihan lebih efisien di hospital, selain mudah dikendalikan menerusi teknologi dan perisian tersendiri.
"Sememangnya kita sudah ke arah IR 4.0 dan ia memberi nilai tambah kepada modal insan itu sendiri. Jika dahulu pekerja menggunakan tenaga sendiri untuk mencuci, kini taraf kemahiran mereka dipertingkatkan apabila mampu menguruskan dan menyelenggara robot tersebut," katanya.
Mengenai Ideasparq Robotics, Asyraf berkata syarikat tersebut merupakan antara penyumbang teknologi untuk inisiatif Teknologi Tinggi Sentuhan Rendah (High Technology Low Touch) di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Katanya ia merupakan syarikat ekosistem Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) yang mendapat sokongan dalam pelbagai aspek termasuk kewangan, khidmat nasihat, rangkaian dalam penghasilan produk dan kolaborasi dengan syarikat lain dalam menjalankan R&D.
Dalam pada itu, jelas beliau selain di hospital, robot pembersihan lantai tersebut juga telah digunakan di Pasar Ayam Amanjaya, Ipoh, Perak pada November 2020.
"Setakat ini, sebanyak 10 unit robot telah dijual. Sasaran pasaran adalah di hospital, namun produk ini juga telah mula diperkenalkan di hotel, hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan tempat awam lain,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat konsesi Medivest Sdn Bhd Muhammad Firdaus Ishak berkata penghasilan robot tersebut dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja, selain mampu menjimatkan sehingga 60 peratus bahan kimia yang digunakan untuk mencuci.
"Menerusi ujian penggunaan robot di hospital, kami dapati berlaku penjimatan 30 peratus tenaga pekerja, apabila sebuah robot boleh melakukan tugas bagi tiga orang pekerja dan kerja pembersihan dapat disiapkan dalam tempoh sejam,” katanya sambil menambah robot berkenaan boleh beroperasi selama enam jam tanpa henti.
Muhammad Firdaus berkata penggunaan robot pembersih lantai itu akan diperluas ke hospital lain dengan sasaran 19 hospital menerusi fasa kedua sebelum akhir tahun ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!