Lelaki Thailand terlibat pemerdagangan migran ke Malaysia ditahan
SONGKHLA - Seorang lelaki warga Thailand yang dikehendaki kerana disyaki terbabit dalam pemerdagangan migran dari Myanmar ke Malaysia ditahan di Sadao, Songkhla, pada Sabtu.
Suspek yang berusia 33 tahun itu ditahan dalam satu serbuan oleh pasukan penguat kuasa melibatkan polis dan tentera, di sebuah rumah di Padang Besar, Sadao.
Bangkok Post melaporkan, hasil siasatan mendapati suspek bertindak sebagai orang tengah untuk menghantar pendatang Myanmar bekerja di Malaysia.
Waran tangkap telah dikeluarkan oleh Mahkamah Wilayah Na Thawi kerana suspek disyaki bersubahat dalam pemerdagangan migran.
Turut dirampas dalam serbuan itu, sepucuk pistol.22 dan 33 butir peluru serta sebuah trak pikap.
Tangkapan itu susulan siasatan yang dilakukan terhadap sekumpulan 31 migran Myanmar, termasuk enam wanita yang ditahan di ladang getah berhampiran sempadan Thailand-Malaysia di daerah Sadao pada 20 Januari.
Siasatan lanjut mendapati migran yang ditahan itu dalam perjalanan dari Myawaddy di Myanmar dan mahu memasuki Malaysia untuk bekerja.
Mereka masuk ke Thailand melalui jalan tikus menuju ke daerah Mae Sot di wilayah Tak, dan kemudian dibawa dengan trak pikap ke Hat Yai di Songkhla sebelum menyeberang ke Malaysia, juga melalui jalan tikus. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!