Muda dilabel boneka DAP, Syed Saddiq selar dakwaan Abdul Hadi
SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menempis dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan mereka diasaskan untuk menjadi boneka parti DAP.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sebaliknya Muda diasaskan untuk membina Malaysia maju, bermaruah dan berintegriti disamping membawa politik yang matang.
"Sebab itu apabila saya berkhidmat dulu dalam kabinet, saya memperjuangkan hak negeri pembangkang di Kelantan dan Terengganu untuk dapat peruntukan khas walaupun bawah pentadbiran pembangkang.
"Sebagai Menteri Belia Sukan, pertama kali dalam sejarah Malaysia, kita mengembalikan semula hak penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) kepada negeri Kelantan dengan peruntukan lebih RM200 juta walaupun negeri pembangkang. Itulah politik matang.
"Dalam Muda, kita gunakan prinsip sama. Hormat kawan, hormat lawan. Keutamaan kepada Malaysia, negara tercinta. Jangan hanya kerana kami Muda, kami dilabel sebagai boneka," katanya menerusi hantaran video di media sosial pada Sabtu.
Beliau mengulas mengenai tindakan Abdul Hadi yang menyifatkan Muda sebagai ciptaan DAP yang bertujuan untuk mengumpan belia Melayu.
Pada masa sama, Syed Saddiq menegaskan, Muda komited untuk belajar dan berkhidmat kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.
Betul ke MUDA ni boneka DAP?
— Syed Saddiq (@SyedSaddiq) February 19, 2022
Ok saya jawab persoalan ini sendiri. pic.twitter.com/PGckmUZcro
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!