Boleh buka jika sedia ke fasa endemik

Dr Hanafiah (gambar kecil) berpandangan tiada tempoh masa khusus untuk membuka sempadan negara dan boleh dibuka bila-bila masa.
Dr Hanafiah (gambar kecil) berpandangan tiada tempoh masa khusus untuk membuka sempadan negara dan boleh dibuka bila-bila masa.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar kesihatan berpandangan tiada tempoh masa yang khusus untuk membuka sempadan negara sebaliknya ia boleh dibuka pada bila-bila masa jika rakyat sudah bersedia menuju ke fasa endemik.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, ini kerana tiada langkah lain yang boleh dilakukan selain penerimaan suasana Covid-19 dalam kehidupan harian.

“Jadi, kalau tanya saya bila masa yang paling sesuai untuk buka sempadan negara, bagi saya tidak ada. Sebabnya Covid-19 ini akan selalu ada.

“Kalau kita sudah bersedia, buka sahaja sempadan, tidak perlu tunggu kes berkurangan ataupun tiada varian baharu. Pada masa sama, kita juga perlu terima virus ini dengan kita,” katanya kepada Sinar Ahad.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) diberi masa dua hingga tiga minggu untuk membentangkan kepada kabinet pelbagai cadangan serta prosedur operasi standard (SOP) berhubung pembukaan sempadan negara kepada pelawat sebelum keputusan mengenainya dimuktamadkan.

Menurutnya, keputusan membuka sempadan negara harus dilihat dengan teliti memandangkan pelbagai pendapat diterima kerajaan termasuk ada kalangan rakyat masih mahu kerajaan membuat intervensi dalam perkara-perkara terutama yang melibatkan SOP dan sebagainya kerana takut dengan penularan Covid-19.

Mengulas lanjut, Dr Hanafiah berkata, KKM sendiri dilihat sudah bersedia jika berlaku peningkatan kes secara mendadak.

“Kalau melihat kepada reaksi Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ke atas peningkatan kes yang mendadak ini, saya nampak kita sudah bersedia.

Artikel Berkaitan:

“Maknanya dari segi penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) dah bersedia. Tempat kuarantin juga dah bersedia, malah hospital-hospital daerah akan digunakan untuk terima pesakit Covid-19, mungkin tahap tiga.

“Jadi, pelan tindakan kita sudah ada. Kita dah bersedia dengan peningkatan kes mendadak,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, penting untuk menyediakan garis panduan kepada pelancong yang mahu keluar masuk ke Malaysia.

Ujarnya, ini termasuklah mewajibkan pelaksanaan ujian Covid-19 selain pengambilan vaksin.

“Adakah untuk mereka yang sudah lengkap vaksinasi ataupun mewajibkan mereka yang mengambil dos penggalak?

“Pelancong juga perlu dapatkan polisi insurans pengembara. Kalau apa-apa berlaku kepada mereka seperti kemasukan ke wad akibat Covid-19, insurans tersebut boleh digunakan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!