Keluarga bayi derita tiada lubang dubur rayu bantuan
SABAK BERNAM - Seorang pencari barangan lusuh berdepan dugaan hidup apabila anaknya berusia sembilan bulan menderita pelbagai penyakit sejak dilahirkan pada 17 Mei tahun lalu.
Sah Rizal Mohamed Aripin, 42, berkata, anak lelakinya, Mohd Az-Ziqri mengalami masalah tiada lubang dubur hingga menyebabkan bahagian perut kirinya terpaksa dibedah bagi memudahkan saluran membuang air besar.
Sah Rizal berkata, lebih memilukan apabila anak bongsu daripada empat beradik itu disahkan mengalami masalah darah, pendengaran telinga kiri, jantung berlubang dan usus.
"Begitu berat ujian yang terpaksa kami lalui sekeluarga terutama dalam keadaan anak saya masih kecil mengalami pelbagai masalah kesihatan yang mungkin memberi kesan sehingga dewasa kelak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit 13 Sungai Panjang di sini pada Sabtu.
Menurut Sah Rizal, kekurangan dialami Mohd Az-Ziqri tidak sesekali mematahkan semangatnya dan isteri, Norizan Mohd Jais, 40, untuk tabah membesarkan anak mereka.
Mengimbau detik Mohd Az-Ziqri dilahirkan, Sah Rizal berkata, anaknya itu dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, bagaimanapun terpaksa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan kerana masalah usus dan tiada saluran buang air besar.
"Akibat masalah itu, anak saya terpaksa menjalani rutin pemeriksaan susulan hampir setiap minggu di HTAR dan HKL.
"Selain itu, lubang pada perut kirinya perlu dibersihkan lima kali sehari dengan ditutup menggunakan kapas khas jenis gauze," katanya.
Sah Rizal berkata, anaknya itu juga memerlukan penjagaan rapi bagi mengelak jangkitan kuman pada paru-parunya yang pernah berlaku sebelum ini hingga pernah dimasukkan ke hospital selama sebulan.
Katanya, pada masa ini, mereka sekeluarga buntu kerana perlu menyediakan wang puluhan ribu ringgit bagi kos rawatan pembedahan lanjutan selain kos berulang alik ke hospital.
"Paling merisaukan kami apabila masih tidak dapat menyediakan wang pembedahan anak dan ia perlu dijalankan selepas berat badan anak melebihi jumlah ditetapkan doktor.
"Buat masa sekarang, kami hanya perlu memfokuskan penjagaan Mohd Az-Ziqri terutama pemakanannya yang hanya meminum susu tepung dan membawanya untuk pemeriksaan di dua hospital atau klinik kesihatan," katanya.
Menurut Sah rizal, akibat masalah kesihatan dialami anaknya itu, dia terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pemandu lori bagi membantu isterinya yang juga suri rumah menjaga Mohd Az-Ziqri.
"Saya yakin rezeki ALLAH SWT luas dan mengambil tanggungjawab untuk menjaga Mohd Az-Ziqri yang memerlukan pemantauan berterusan.
"Alhamdulillah, walaupun pendapatan saya tidak seberapa untuk menjual barang lusuh di sekitar daerah ini, tetapi ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kami," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Prihatin Malaysia, Dr Mohd Hisham Surgi turut berkesempatan menziarahi keluarga terbabit.
Mohd Hisham berkata, masalah dihadapi keluarga itu akan dibawa kepada pihak berwajib dalam usaha menyalurkan bantuan yang sewajarnya.
"Kita berharap apa yang dilalui keluarga ini dapat dibantu bagi meringankan bebanan terpaksa ditanggung," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 162469198099 atas nama Sahrizal atau menghubunginya di talian 011-21473093.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!