25,663 kanak-kanak terima vaksin di Pulau Pinang


Seramai 25,663 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Pulau Pinang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi PICKids. - Gambar hiasan
Seramai 25,663 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Pulau Pinang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi PICKids. - Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Seramai 25,663 atau 16.5 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Pulau Pinang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids).

Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan, Dr Norlela Ariffin berkata, jumlah itu direkodkan dari 7 Februari iaitu hari pertama PICKids dilaksanakan sehingga 19 Februari.

"Sehingga 19 Februari, jumlah kanak-kanak yang menerima suntikan meningkat berbanding 530 orang yang dicatatkan pada 12 Februari lalu.

"Sementara itu, Pulau Pinang juga menerima pendaftaran PICKids melebihi 64,300 sehingga 18 Februari," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, sebanyak 14 lagi pusat pemberian vaksin (PPV) telah dibuka bagi menjayakan PICKids selain mempercepatkan proses suntikan bagi golongan kanak-kanak di Pulau Pinang.

Bagi permulaan suntikan vaksin yang bermula pada 7 Februari lalu, ia hanya melibatkan kanak-kanak yang mempunyai komorbid atau tergolong dalam kalangan yang berisiko tinggi.

Sebelum ini, seramai 40,000 daripada 155,600 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Pulau Pinang sudah berdaftar untuk divaksinasi.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini mengumumkan Pihak Berkuasa Ubat-ubatan (DCA) meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Norlela berkata, sebanyak 938,065 populasi dewasa iaitu 68.3 peratus telah menerima dos penggalak di Pulau Pinang sehingga 20 Februari.

Bagaimanapun menurutnya, sehingga 18 Februari, daerah paling tinggi yang dicatatkan adalah Barat Daya dengan 75 peratus; Seberang Perai Tengah (74 peratus); Seberang Perai Selatan (72 peratus), Timur Laut (65 peratus) dan 45 peratus bagi Seberang Perai Utara.

"Trend suntikan dos penggalak di Seberang Perai Utara dilihat seakan di Kedah. Ia mungkin kerana profil demografi penduduk yang sama.

"Data golongan yang layak untuk mendapatkan dos penggalak (pencapaian denom) sehingga 18 Februari adalah 1.41 juta orang," katanya.

Katanya, bagi dos penggalak dalam kalangan golongan berisiko tinggi pula, kategori komorbid adalah 69.5 peratus; orang kurang upaya (68.3 peratus); petugas perubatan (79.3 peratus); warga emas (80.6 peratus) dan Sinovac2 (78.7 peratus).



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!