UiTM, PTPTN jalin kerjasama tingkatkan literasi kewangan, keusahawanan
SHAH ALAM - Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama strategik seterusnya meningkatkan literasi kewangan dan keusahawanan.
Kedua-dua institusi terbabit dalam kenyataan bersama memaklumkan bahawa perjanjian yang ditandatangani di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada Sabtu itu diharapkan dapat memberi manfaat dalam membudayakan penabungan awal melalui simpanan pendidikan.
“Pada masa yang sama, kerjasama ini juga diharapkan dapat membangunkan modal insan dalam kalangan pelajar UiTM melalui inisiatif program kemahiran yang berkualiti agar graduan UiTM memenuhi keperluan industri apabila tamat pengajian nanti,” kata kenyataan tersebut pada Sabtu.
Menurut kenyataan itu, UiTM dan PTPTN juga akan berganding bahu menjalankan program-program literasi kewangan dan keusahawanan dalam kalangan pelajar.
Ujarnya, literasi kewangan dan keusahawanan amat penting khususnya untuk generasi muda kerana ia boleh mendorong kepada masalah kewangan dalam kehidupan sekiranya mereka gagal merancang terlebih dahulu.
“Program keusahawanan pula menggalakkan pelajar untuk menubuhkan perniagaan sendiri yang boleh menjadi sumber pendapatan utama tanpa perlu bergantung kepada pekerjaan dalam sektor kerajaan atau swasta yang amat sengit persaingannya.
“Antara aktiviti yang bakal dijalankan ialah seminar dan webinar pengurusan kewangan dan taklimat kerjaya untuk melahirkan pelajar yang lebih berkualiti serta memenuhi kehendak industri.
“Aktiviti juga tidak terhad kepada pelajar sahaja tetapi meliputi graduan dan alumni UiTM,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, kerjasama penyelidikan khususnya dalam bidang kewangan turut dijalankan oleh UiTM dan PTPTN.
“UiTM memang telah lama diakui memiliki kekuatan dan kepakaran dalam bidang pengurusan perniagaan serta kewangan.
“PTPTN pula mempunyai pengalaman yang luas dalam pengurusan pinjaman pelajar menjadikan kerjasama penyelidikan tersebut mampu menghasilkan idea-idea baru khususnya dalam bidang perancangan kewangan,” jelasnya.
Pada majlis MoU berkenaan, UiTM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Ts Dr Roziah Janor manakala PTPN oleh Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Turut hadir, Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Datuk Dr Jamil Hamali dan Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!