Jangan silap langkah ambil rasuah
SHAH ALAM - Masyarakat dinasihatkan supaya tidak silap langkah dan menolak amalan rasuah yang akan memberikan kesan buruk secara berterusan kepada diri sendiri.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Razim Mohd Noor berkata, masyarakat perlu sedar mengenai keburukan amalan rasuah yang akan menyebabkan pelbagai implikasi terhadap mereka yang terjebak mengambil atau menerima rasuah.
"Kalau saya bercakap, saya sering menyebut contoh beberapa kes melibatkan guru besar yang memberikan tender membekalkan makanan pelajar sekolah kepada ahli keluarga mereka.
"Guru besar ini mendapat untung yang tidak seberapa daripada rasuah tersebut, tetapi akibatnya dia mengakhiri kariernya sebagai guru di penjara selain hilang faedah persaraan dan saguhati yang sepatutnya dia dapat. Ini amat menyedihkan dan salah satu kesan buruk amalan rasuah ini," katanya dalam rancangan Akademi Daei Muda Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) - Forum Tiga Penjuru mengenai rasuah yang disiarkan di laman facebook rasmi yayasan tersebut pada Ahad.
Menurutnya, selain hukuman dan kehilangan pekerjaan, seseorang yang telah disabitkan bersalah kerana menerima rasuah ini juga akan berdepan persepsi buruk terutama dalam kalangan masyarakat.
"Ia berkaitan maruah seseorang itu sendiri. Selepas keluar penjara, bagaimana dia mahu berhadapan dengan masyarakat yang sudah tentu akan memandang serong kepada pesalah rasuah ini. Ia akan menyebabkan dia menjadi malu dan emosi tercalar apabila berdepan masyarakat atau sahabatnya sendiri.
"Jadi, penting untuk semua orang supaya tidak mendekati rasuah ini kerana ia akan mendatangkan banyak keburukan," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui kesedaran mengenai rasuah ini semakin meningkat dalam kalangan masyarakat.
Razim menjelaskan, ia dibuktikan apabila lebih banyak kes berjaya dibongkar hasil maklumat daripada orang awam.
"Saya juga bersetuju bahawa lagi banyak kempen membanteras rasuah, lebih banyak kes yang timbul. Ia membuktikan satu kesedaran daripada masyarakat dan mereka sudah mula menyalurkan maklumat kepada SPRM untuk diambil tindakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!