Impian miliki van jenazah akhirnya tercapai

Muhamad (lima dari kanan) mewakili Masjid Mukim Paloh, Tumpat menerima sumbangan van jenazah disampaikan oleh Murtadhatumizi (tiga dari kiri) mewakili Kasih Mz Gold.
Muhamad (lima dari kanan) mewakili Masjid Mukim Paloh, Tumpat menerima sumbangan van jenazah disampaikan oleh Murtadhatumizi (tiga dari kiri) mewakili Kasih Mz Gold.
A
A
A

TUMPAT - Impian ahli kariah Masjid Mukim Paloh, di sini untuk memiliki sebuah van jenazah bagi kegunaan penduduk setempat sejak lima tahun lalu akhirnya menjadi kenyataan apabila menerima sumbangan itu daripada Pertubuhan Kasih Mz Gold Kelantan (Kasih Mz Gold).

Imam Tua Masjid Mukim Paloh, Muhamad Hussin berkata, kemudahan itu bakal memberikan manfaat kepada penduduk di enam buah kampung sekitar mukim tersebut iaitu Kampung Dalam Pagar; Pasir Pekan Hilir, Paloh, Paloh Chicha, Padang Pohon Tanjong dan Pauh Ganja.

"Sebelum ini pihak kami terpaksa mendapatkan bantuan dari masjid sekitar untuk meminjam van bagi membawa jenazah ke kawasan tanah perkuburan," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan van jenazah yang disampaikan oleh Pengasas Pertubuhan Kasih Mz Gold Kelantan, Murtadhatumizi Mustapha di sini pada Ahad.

Menurutnya, mengikut perancangan asal, pihak masjid mahu mengumpul derma bagi membeli kenderaan tersebut untuk kemudahan pengurusan jenazah pada masa hadapan.

Beliau berkata, sebagai langkah awal pihak masjid bertemu dengan Murtadhatumizi untuk memohon sedikit sumbangan sebagai permulaan dalam merealisasikan hasrat tersebut.

Muhamad berkata, bagaimanapun pihaknya terkejut apabila Kasih Mz Gold sudi merealisasikan impian itu dengan memberikan sebuah van jenazah bernilai RM85,000 untuk kegunaan penduduk.

"Saya hanya mampu mengucap syukur dan sumbangan ini amat bermakna buat penduduk di Mukim Paloh yang sudah lama mengimpikan kemudahan itu," katanya.

Sementara itu, Murtadhatumizi berkata, sebagai permulaan pihaknya akan membiayai kos penyelenggaraan van tersebut selama setahun.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Kasih Mz Gold berharap van tersebut dapat membantu memudahkan pengurusan jenazah penduduk setempat.

"Van ini saya wakaf atas nama arwah ayah Mustapha Hamzah yang telah meninggal dunia," katanya.