Terperangkap dalam rasuah sebab tak solat

Nasruddin bertindak sebagai salah seorang panelis pada Forum Dalam Talian: 3 Penjuru Rasuah yang disiarkan secara langsung di Facebook Yadim dan Sinar Harian pada Ahad.
Nasruddin bertindak sebagai salah seorang panelis pada Forum Dalam Talian: 3 Penjuru Rasuah yang disiarkan secara langsung di Facebook Yadim dan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Individu yang terperangkap dalam jerat rasuah secara umumnya adalah mereka yang tidak menunaikan solat.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasruddin Hassan berkata, ia kerana orang yang menunaikan solat tidak akan melakukan perkara mungkar sedemikian.

"Kenapa kita perlu solat? Supaya kita mempunyai jati diri yang kuat sebagai seorang Muslim untuk menolak kemungkaran termasuklah rasuah.

"Kalau kita tidak ada kekuatan dalaman, rasuah ini mampu memperdaya dan memanipulasi kita walaupun kita tahu tentang bahaya rasuah," katanya selaku panelis 'Forum Dalam Talian: 3 Penjuru Rasuah' yang disiarkan secara langsung di Facebook Yadim dan Sinar Harian pada Ahad.

Forum anjuran Yadim dengan kerjasama TV Alhijrah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Rasuah Busters itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor dan Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin manakala Daie Muda Yadim, Irham Wazini Muhamad Zaki bertindak sebagai moderator.

Oleh itu, Nasruddin menegaskan untuk memerangi rasuah secara keseluruhannya ia perlu bermula di peringkat asas iaitu perlu ditimbulkan kesedaran untuk mematuhi ketetapan agama mencakupi semua agama kerana rasuah melibatkan manusia sejagat.

"Orang yang mengetahui agama berbeza dengan orang yang memahami dan mengamalkan agama. Sebab itu tak pelik kalau rasuah bukan sahaja libatkan penjawat awam bahkan agamawan pun ada yang terjebak.

"Jadi tidak cukup sekadar kita tahu hukum hakam tetapi perlu sampai ke peringkat memahami, menghayati dan mengamalkan agama dalam kehidupan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, lebih menakutkan lagi, rasuah juga adalah satu bentuk penindasan, kekejian, kemungkaran dan jenayah yang sebenarnya boleh merosakkan tamadun dan peradaban manusia.

"Tak keterlaluan kalau saya kata isu rasuah di Malaysia sekarang sudah macam barah tahap empat.

"Ia telah menular dalam masyarakat kita sampai ke bawah, bukan sahaja kepada orang politik. Kalau dulu kita kata orang politik suka rasuah, sekarang ini rasuah sudah pergi kepada penjawat awam dan masyarakat biasa. Di kampung-kampung pun sudah pandai main rasuah secara kecil-kecilan," jelasnya.

Nasruddin menambah, situasi itu menunjukkan bahawa budaya rasuah telah berakar umbi dalam masyarakat Malaysia ketika ini.

"Jadi tak pelik kalau Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dilaporkan Transparency International Malaysia (TI-M) menunjukkan kejatuhan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pada 2019 Malaysia berada pada tangga 51 sebelum jatuh ke tangga 57 pada 2020 dan kemudian pada 2021 jatuh lagi ke tangga 62 daripada 180 negara di peringkat antarabangsa.

"Jadi saya pun pelik di negara kita ni makin kita kempen tentang antirasuah, makin menjadi-jadi pula rasuah macam makin dilarang, makin dibuat," katanya kesal.

Beliau berkata, perkara itu perlu dilihat dan ditangani secara holistik oleh semua pihak dan masyarakat tanpa mengira Muslim atau tidak.

"Ia adalah isu masyarakat keseluruhan yang akan meluputkan peradaban dan tamadun kita. Jadi inilah yang saya sangat ambil berat sekarang ini sebab ia telah menular.

"Kalau tengok statistik yang dikeluarkan SPRM sendiri pun sehingga Oktober 2021, direkodkan seramai 404 penjawat awam terlibat dalam rasuah sedangkan penjawat awam inilah yang kita harapkan menjaga pentadbiran, kelestarian operasi pengurusan negara kita," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!