Harap Karnival Kerjaya JaminKerja 2022 diperluas ke banyak lokasi
SHAH ALAM - Karnival Kerjaya JaminKerja 2022 yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diharapkan dapat diperluas ke lebih banyak lokasi bagi mengatasi masalah pengangguran negara yang semakin membimbangkan.
Karnival yang berlangsung pada Sabtu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya dalam kalangan pencari kerja.
Berdasarkan perkongsian video di Facebook Ismail Sabri, rata-rata netizen menyambut baik usaha kerajaan dalam membuka lembaran baharu buat mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Antaranya, pengguna Facebook dengan nama akaun Nizam Mat Pong berkata, Karnival Kerjaya JaminKerja 2022 yang berlangsung bermula jam 9 pagi hingga 5 petang itu mendapat sambutan baik terutamanya dalam kalangan graduan.
Dia juga berharap karnival berkenaan dapat diperluas ke lebih banyak kawasan berikutan masih ramai orang yang tidak dapat hadir atas faktor tertentu.
“Luaskan ke kawasan lain Perdana Menteri, sesi macam ini, ramai lagi yang tidak dapat hadir atas banyak faktor. Alhamdulillah sambutan amat baik daripada anak-anak muda terutama golongan graduan yang nak menempuh ke alam pekerjaan, terbaik usaha kerajaan,” katanya.
“Kepada mereka yang masih cari kerja, inilah masanya, jangan lepaskan peluang yang diberi. Peluang bukan selalu datang, tiada alasan lagi untuk kata tidak ada kerja, Insya-ALLAH, moga dipermudahkan kepada mereka Keluarga Malaysia,” luah pengguna Facebook lain, Aznie De'Amor.
Bagi pemilik akaun dengan nama Muhammad Ammer Raphael pula berkata, Karnival Kerjaya JaminKerja 2022 itu merupakan antara petanda positif bahawa negara di bawah pimpinan Ismail Sabri sedang menuju ke arah pemulihan ekonomi yang lebih baik ketika ini.
Dia dalam masa sama turut berharap agar mereka yang hadir ke sesi temu duga secara langsung bersama majikan tersebut akan mendapat perkhabaran baik secepat yang mungkin.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Quraisha Sophea pada awalnya akui terkejut dengan pengumuman bahawa 600,000 peluang pekerjaan yang terdiri daripada tiga komponen utama iaitu Insentif Penggajian JaminKerja, MySTEP serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran ditawarkan menerusi karnival itu.
“Lebih 600,000 peluang pekerjaan, saya terkejut. Keluarga Malaysia Makmur Sejahtera. Syukur Malaysia menuju pemulihan ekonomi dengan pantas. Moga ramai yang berhasil mencari kerja nanti, syabas pada yang hadir, program yang sangat hebat,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!