Program pembiakan lahirkan enam anak seladang di Zoo Taiping
IPOH - Zoo Taiping & Night Safari telah menggerakkan program pembiakan seladang sejak 1998 dalam usaha melindungi populasi spesies terancam itu.
Pengarahnya, Dr Kevin Lazarus berkata, program dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) itu berjaya membiakkan enam ekor anak seladang.
Menurutnya, sebahagian daripada anak seladang berkenaan ditempatkan di beberapa zoo di negara ini di bawah program pembiakan khas.
"Zoo Taiping memulakan program ini dengan sepasang seladang yang disumbangkan Perhilitan untuk pembiakan.
"Kajian dan penyelidikan yang dijalankan telah berjaya membiakkan beberapa ekor anak seladang dengan sebahagiannya dihantar ke zoo lain," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau berkata, pembiakan spesies yang tergolong dalam kategori haiwan semakin pupus itu memerlukan tahap pemantauan yang rapi dan kajian khusus daripada kumpulan pakar.
Katanya, langkah yang boleh diberi perhatian khusus adalah menggunakan baka baru untuk memastikan kelangsungan spesies berkenaan.
"Penggunaan baka atau induk baru untuk pembiakan perlu bagi mengelak risiko inbreeding, tambahan pula kita sudah terlalu lama menggunakan baka lama," katanya.
Laporan Sinar Harian pada Ahad menyatakan bahawa spesies lembu liar itu kini berada dalam keadaan terancam dan akan pupus sepenuhnya jika tiada usaha yang serius dilakukan untuk menyelamatkannya.
Jumlah seladang liar kini dianggarkan sekitar beberapa ratus ekor sahaja dan hanya boleh dijumpai di kawasan utara Semenanjung Malaysia dalam beberapa kelompok kecil yang terpisah dan tidak dapat bertemu untuk membiak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!