Kerajaan perlu umum segera gaji minimum RM1,500

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengingatkan kerajaan supaya menjadikan gaji minimum RM1,500 sebagai agenda utama untuk dilaksanakan pada ketika ini.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, jutaan pekerja terutama golongan B40 sedang melihat dan memerhatikan kesungguhan kerajaan dalam memberikan gaji minimum tersebut.

"Pekerja-pekerja pembersihan terutamanya di bawah kontrak kerajaan yang keseluruhannya adalah pekerja tempatan amat berharap supaya gaji minimum RM1,500 dilaksanakan. Kadar tersebut akan menyaksikan gaji mereka berubah setelah bekerja lebih 15 tahun.

"Gaji minimum baharu sepatutnya menjadi keutamaan pentadbiran kerajaan dan tidak mengambil masa yang lama dalam membuat kajian atau perbincangan dalam penetapan kadar baharu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau turut mempersoalkan mengenai kajian perintah gaji minimum itu sama ada telah dilakukan dan dibentangkan kepada kabinet.

Menurutnya, kajian sepatutnya telah selesai dan keputusan kabinet boleh dibuat dengan kadar segera demi kepentingan negara.

"Kerajaan juga digesa menerima pelabur yang berupaya memberikan gaji minimum yang wajar kepada pekerja dan tidak kedekut. Seperti Syarikat AEON yang telah memberi gaji minimum RM1,500 dan tarikh pelaksanaannya pada 1 Januari 2022 adalah bukti keinginan sesebuah syarikat untuk melaksanakannya bagi kebajikan pekerja.

"MTUC mengesyorkan kerajaan supaya jangan tunggu kapal sehingga karam tetapi masih lagi mengarahkan perbincangan di buat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kamarul Baharin turut menegaskan MTUC telah beberapa kali mencadangkan perbincangan di peringkat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) supaya isu buruh dapat diselesaikan termasuk gaji minimum, buruh paksa, pindaan Akta Pemburuhan dan sebagainya.

"Jutaan pekerja akan berterima kasih pada kerajaan dan hanya segelintir sahaja yang tidak bersetuju dengan gaji minimumRM1,500 dilaksanakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!