Perkhidmatan myBas SBST di Johor bermula Mac ini

Ka Siong (belakang, kanan) dan Hasni meninjau keadaan bas selepas Majlis Perasmian Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) Johor Bahru di Renaissance Hotel, Johor Bahru pada Ahad.
Ka Siong (belakang, kanan) dan Hasni meninjau keadaan bas selepas Majlis Perasmian Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) Johor Bahru di Renaissance Hotel, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perkhidmatan myBas menerusi Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) dengan kos RM150 juta akan bermula di bandar raya ini pada Mac ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Ir Dr Wee Ka Siong berkata, perkhidmatan bas tersebut akan dilakukan secara berperingkat selama tiga tahun dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan bas di negeri ini.

"Ini projek tiga tahun. Tahun pertama kita mulakan dengan peruntukan RM50 juta, tahun berikutnya RM50 juta dan tahun ketiga RM50 juta menjadikan jumlah keseluruhan RM150 juta.

"Program ini terbukti kerana telah dilaksana di ibu negara, Kangar, Ipoh, Seremban dan Kuala Terengganu untuk bantu rakyat yang merupakan satu sistem lebih dinamik untuk perkasa perkhidmatan awam darat khususnya bas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) Johor Bahru di Renaissance Hotel di sini pada Ahad.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak.

Ka Siong memberitahu, pelaksanaan myBas di negeri ini akan melibatkan 19 laluan di lima koridor iaitu Kota Tinggi, Masai, Kulai, Gelang Patah dan Pontian melibatkan laluan sepanjang 1,052 kilometer.

"Tambang perkhidmatan myBas adalah berpatutan dan penumpang akan diberi pilihan untuk membuat pembayaran secara tunai atau tanpa tunai ketika," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dijangkakan seramai 6.4 juta penumpang di negeri ini akan menggunakan perkhidmatan bas elektrik tersebut dalam masa setahun.

Sementara itu, Hasni berkata, Johor Bahru bakal menjadi bandar raya hab pengangkutan awam dengan pelaksanaan SBST.

Beliau berkata, sistem perkhidmatan awam darat itu akan melengkapi jaringan perkhidmatan bas meliputi tiga bandar raya utama iaitu Johor Bahru, Iskandar Puteri dan juga Pasir Gudang.

"Ketiga-tiga bandar raya ini akan digabungkan dengan sistem yang baik, terkini, dengan ketepatan masa perkhidmatan dan kawasan liputannya.

"Kemudian jenis bas yang diperkenalkan dalam SBST ini juga melibatkan bas mini, bas biasa dan juga bas elektrik, tentunya ini sesuatu yang setara dengan Bandaraya Johor Bahru," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!