Penduduk Kanada protes vaksinasi mandatori
OTTAWA - Operasi selama dua hari untuk menyuraikan penunjuk perasaan dari ibu kota Kanada menunjukkan kemajuan yang ketara, namun usaha itu masih belum selesai dan mungkin mengambil masa.
Perkembangan situasi protes Konvoi Kebebasan itu dimaklumkan pemangku Ketua Polis Ottawa, Steve Bell pada Sabtu selepas ratusan anggota keselamatan dikerahkan untuk mengusir peserta demonstrasi berkenaan yang telah melumpuhkan bandar tersebut sejak tiga minggu lalu.
Insiden pertempuran turut tercetus apabila sebahagian penunjuk perasaan yang degil bertindak melemparkan kanister gas dan bom tangan asap ke arah pasukan keselamatan sambil melaungkan slogan kebebasan setelah pihak berkuasa menggunakan semburan lada ketika ketegangan semakin memuncak.
Bagi menghadapi situasi tersebut, anggota polis mendapat sokongan kenderaan taktikal dan diawasi penembak tepat telah ‘membersihkan’ Wellington Street di hadapan bangunan Parlimen yang menjadi pusat demonstrasi konvoi trak yang membantah peraturan kesihatan Covid-19.
Beberapa trak ditunda manakala khemah, gerai makanan dan struktur lain yang didirikan penunjuk perasaan telah dirobohkan.
Pihak berkuasa turut menggunakan alat pembesar suara untuk memberi amaran kepada kumpulan tersebut supaya bersurai: ‘Anda perlu beredar atau bakal ditahan’.
Bagaimanapun, sebahagiannya masih tidak berganjak dan sengaja melakukan tindakan provokasi dengan menyalakan unggun api sambil menyanyikan lagu rock pada tahun 1980-an berjudul, We’re No Gonna Take It.
Sebahagian pemandu trak yang akur dengan arahan pihak berkuasa dilihat mula meninggalkan lokasi demonstrasi itu yang telah berjaya menarik penyertaan kira-kira 15,000 penunjuk perasaan.
Menurut Bell, kira-kira 170 penunjuk perasaan telah ditahan sejak operasi itu bermula pada Jumaat.
Beliau juga menyelar sikap segelintir ibu bapa yang sengaja merisikokan anak mereka dengan membawa golongan itu ketika operasi pembersihan tersebut sedang giat dijalankan.
Penganjur Konvoi Kebebasan tersebut bagaimanapun menuduh anggota polis menggunakan tindakan kekerasan terhadap kumpulan penunjuk perasaan.
“Kami akan membawa protes ini ke tempat lain. Perjuangan ini belum berakhir,” kata ahli muzik, Nicole Craig bersama suaminya, Alex.
Difahamkan, operasi itu adalah yang terbesar pernah dilancarkan di ibu kota berkenaan.
Ketika ini, pihak berkuasa turut membuka siasatan ke atas beberapa kes jenayah berkaitan rampasan senjata berbahaya.
Protes konvoi trak yang telah merebak ke beberapa negara lain itu bermula sebagai membantah vaksinasi mandatori untuk menyeberangi sempadan Amerika Syarikat (AS).
Demonstrasi itu kemudiannya mencapai kemuncak apabila peserta protes Konvoi Kebebasan itu bertindak menyekat lintasan sempadan AS-Kanada termasuk laluan perdagangan utama antara Ontario dan Detroit, Michigan yang turut memberi kesan besar kepada ekonomi. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!