‘Demonstrasi Baling 1974 mencorak sebahagian besar politik saya’
SHAH ALAM – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa penglibatannya dalam Demonstrasi Baling 1974 sehingga dipenjarakan hampir dua tahun telah mencorak sebahagian besar politiknya.
Menurutnya, pada masa tersebut beliau masih lagi seorang mahasiswa dan turut percaya golongan muda mesti ke hadapan menjadi jurubicara umat.
“Penghargaan buat warga Baling yang cukup kuat mendukung saya sehingga ke saat ini. Pengalaman di Baling memberi erti yang bukan kecil terutamanya tentang perjuangan, kemiskinan serta derita rakyat.
“Peristiwa tersebut benar-benar mencorak sebahagian besar politik saya tatkala saya pada saat itu masih seorang mahasiswa dan saya percaya orang muda itu mesti di depan menjadi jurubicara umat,” katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Ahad.
Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam masa sama turut menggesa agar golongan muda pada zaman ini menelaah semula sejarah Demonstrasi Baling 1974.
“Saya gesa anak-anak muda zaman sekarang untuk mengambil kesempatan ini untuk telaah kembali sejarah ini dan menyikapi dengan baik isu-isu penting yang mengesankan rakyat dan negara,” ujarnya.
PERISTIWA BALING MENDEWASAKAN SAYA
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) February 20, 2022
Saya pernah ditahan dan dipenjarakan selama hampir dua tahun kerana terlibat dalam Demonstrasi Baling 1974.#baling1974pic.twitter.com/I5PFnMaS0b
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!