Guna MPV mewah angkut PATI

Dua lelaki tempatan dicekup semasa membawa 24 PATI menggunakan MPV mewah secara berasingan di jalan Kampung Batu 4, Tanah Merah pada Ahad.
Dua lelaki tempatan dicekup semasa membawa 24 PATI menggunakan MPV mewah secara berasingan di jalan Kampung Batu 4, Tanah Merah pada Ahad.
A
A
A

TANAH MERAH - Dua lelaki tempatan yang bertindak sebagai tekong darat dicekup semasa membawa 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah secara berasingan di jalan Kampung Batu 4 di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, kenderaan jenis Toyota Vellfire dan Hyundai Starex itu ditahan pada jam 10 pagi.

"Kedua-dua warga tempatan yang kita tahan itu berusia 40 dan 49 tahun.

"Semasa membuat rondaan anggota bertugas telah menahan dua buah kenderaan mewah di tepi jalan yang berada dalam keadaan mencurigakan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan ke atas Hyundai Starex membawa kepada penemuan 13 PATI warga Myanmar.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas sebuah lagi MPV mewah membawa kepada penemuan 11 PATI warganegara sama.

Katanya, kesemua PATI berusia 3 hingga 41 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod perjalanan dan dokumen sah.

"Daripada jumlah tersebut, 11 adalah lelaki dan wanita termasuk seorang kanak-kanak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zainuddin berkata, hasil soal siasat awal kesemua PATI itu telah diambil di kawasan Kampung Wakaf Simen, Nibong untuk dihantar ke Kuala Lumpur sebagai pekerja.

Menurutnya, dua tekong darat itu mengaku menerima upah sebanyak RM1,500 untuk menghantar PATI itu dari Kelantan ke Kepong.

Beliau berkata, kedua-dua pemandu terbabit akan disiasat bawah Seksyen 26 J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63.

"Hasil ujian saringan mendapati dua PATI positif Covid-19," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!