Melaka jamin LTAM selamat digunakan
MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri memberi jaminan Landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) selamat digunakan bagi pendaratan dan penerbangan pesawat.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, selain penerbangan syarikat Malindo Air yang telah memulakan operasi bermula Mac lalu, syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia juga bakal mewujudkan laluan baharu ke negeri ini menerusi pesawat Airbus A320 bermula Julai depan sekali gus memberi keyakinan mengenai tahap keselamatan penumpang termasuk pesawat lain yang berkapasti seumpama itu.
Menurutnya, sudah pasti syarikat penerbangan akan mengutamakan keselamatan penumpang dan untuk membuat sebarang keputusan beroperasi di lapangan terbang berkenaan mereka akan melalui pelbagai proses termasuk proses percubaan pendaratan dan sebagainya.
Malah katanya, lapangan terbang terbabit turut diselenggara serta diurus tadbir dengan baik oleh Syarikat Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) yang memiliki pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti lSO9001:2015 dan ISO 14001:2018 dan sebagainya sama ada secara berkala ataupun tidak berjadual mengikut piawaian yang telah ditetapkan.
"Pensijilan itu memerlukan MAHB menyediakan jadual penyelenggaraan LTAM dengan cara yang lebih baik.
"Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM) juga menjalankan audit pensijilan kepada semua lapangan terbang termasuk LTAM bagi memastikan piawaian sentiasa dipatuhi," katanya.
Mohd Sofi (Amanah-Durian Tunggal) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Damian Yeo Shen Li (DAP-Duyong) ketika persidangan pertama penggal kedua DUN ke-14, di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Tambah Mohd Sofi, kewujudan laluan baharu ke Pulau Pinang kelak bakal merangsang pertumbuhan ekonomi dan menggalakkan kedatangan pelancong ke negeri ini bertepatan dengan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019.
Menurutnya, kewujudan laluan baharu itu turut mendorong sasaran seramai 75,000 penumpang menggunakan kemudahan LTAM pada tahun ini.
"Selain itu AirAsia juga menyatakan hasrat untuk memulakan penerbangan di LTAM menerusi laluan ke Langkawi, Kota Kinabalu dan Pekan Baru," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!