Covid-19: 41 kluster masih aktif, dua diisytihar tamat di Sabah
KOTA KINABALU - Sebanyak 41 kluster Covid-19 di Sabah masih aktif, manakala dua lagi diisytiharkan tamat pada Ahad, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.
Beliau berkata, dua kluster yang diisytiharkan tamat itu ialah Kluster Kayul di Kuala Penyu melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti, dan Kluster Pandan-Pandan di Putatan yang merupakan kluster institusi pendidikan.
Masidi yang juga jurucakap Covid-19 negeri berkata, terdapat satu lagi kluster baharu melibatkan penularan jangkitan dalam institusi pendidikan dilaporkan pada Ahad, dengan kes indeks seorang pelajar asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beluran.
"Kluster Jalan Beluran Lama ini tercetus apabila kes indeks berusia 18 tahun dikesan positif, selepas menjalani saringan bergejala pada 17 Februari lepas.
"Saringan terhadap kontak rapat mendapati pertambahan sebanyak 34 kes, menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah 35 kes setakat hari ini. Semua kes telah diasingkan dan diberikan rawatan lanjut, manakala kontak rapat tidak bergejala juga diberikan perintah kuarantin,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Secara keseluruhan, Masidi berkata, Sabah merekodkan sebanyak 5,007 kes baharu pada Ahad, menjadikan jumlah kumulatif 308,476 kes dengan empat kes kematian dilaporkan iaitu masing-masing satu kes di Ranau, Lahad Datu, Keningau dan Beaufort.
Beliau berkat,a 3,161 kes atau 63.13 peratus daripada kes baharu itu adalah disebabkan jangkitan sporadik dan peratusan tinggi tersebut menunjukkan jumlah kes harian di negeri itu dijangka kekal tinggi dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Masidi berkata, 4,107 pesakit Covid-19 di Sabah sembuh dan dibenarkan keluar hospital, manakala 2,919 pesakit lagi masih menerima rawatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!