Pokok tumbang, bumbung terbang akibat ribut

Sebuah kenderaan dihempap pokok dalam kejadian berkenaan. (Rumah penduduk yang terjejas dalam kejadian itu.) - Foto Ihsan Bomba
Sebuah kenderaan dihempap pokok dalam kejadian berkenaan. (Rumah penduduk yang terjejas dalam kejadian itu.) - Foto Ihsan Bomba
A
A
A

TAMPIN - Kira-kira 30 buah rumah di gugusan Felda Jelai, Gemas melibatkan Felda Jelai 1 hingga 4 di sini rosak selepas kediaman mereka dilanda ribut dan hujan lebat dalam kejadian petang Ahad.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farid Abu Bakar berkata, kejadian pada jam lebih kurang 5.30 petang itu mengakibatkan bumbung rumah diterbangkan angin selain terdapat kenderaan dihempap pokok.

"Bagaimanapun, setakat ini tiada kecederaan dilaporkan namun hanya empat orang daripada satu keluarga ditempatkan di Kuarters Felda Jelai 1 selepas rumah mereka rosak teruk.

"Ketika ini, penduduk yang terjejas ada yang menumpang di rumah saudara mara untuk sementara waktu dan ada yang tidak berpindah kerana kerosakan dialami tidak teruk," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Sinar Harian difahamkan, kejadian itu pertama kali berlaku setakat tahun ini dan jumlah kerugian masih dinilai.

Keadaan lokasi kejadian. - Foto Ihsan Bomba
Keadaan lokasi kejadian. - Foto Ihsan Bomba

Keadaan selepas kejadian turut dikongsi menerusi laman sosial Facebook Gugusan Felda Jelai.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi laman sosial Facebooknya mengeluarkan amaran hujan lebat, ribut petir dan angin kencang yang dijangka berlaku melibatkan beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan, Kedah, Perak dan Kelantan sehingga jam 9 malam Ahad.

Artikel Berkaitan:

Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!