Dos penggalak: Pakar saran guna kaedah pujukan
SHAH ALAM - Penguatkuasaan suntikan dos penggalak sebagai syarat lengkap vaksinasi bagi mengelak jangkitan Covid-19 amat tepat dilaksanakan, namun perlu secara berhati-hati.
Pakar Kesihatan Awam dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, asas utama yang perlu dilaksanakan adalah memberi kesedaran dan galakan supaya rakyat memahami pentingnya pengambilan dos penggalak untuk mengurangi risiko jangkitan dan pembawa virus Covid-19 kepada orang lain.
Menurutnya, langkah penguatkuasaan sesuatu undang-undang bukan proses yang mudah, sebaliknya memerlukan kajian yang teliti dan lebih penting ia tidak dilaksanakan dengan tergesa-gesa.
“Sebagai pakar perubatan, kita menyokong langkah itu (suntikan dos penggalak sebagai syarat lengkap vaksinasi) tetapi perlu bersikap realistik daripada pelbagai sudut antaranya mungkin berlaku isu pertikaian daripada rakyat sendiri.
“Dalam masa sama, ia akan menimbulkan rasa kurang senang rakyat kepada kerajaan. Jadi fokus kita sekarang adalah pujuk, galak dan beri kesedaran untuk mereka ambil dos penggalak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata demikian mengenai keperluan untuk KKM menguatkuasakan pengambilan dos penggalak sebagai syarat lengkap vaksinasi bagi mengelak situasi jangkitan Covid-19 lebih teruk.
Ia susulan Malaysia ketika ini mencatatkan trend peningkatan kes positif dan kemasukan unit rawatan rapi (ICU).
Sharifa Ezat berkata, antara galakan yang mungkin boleh dipertimbangkan untuk dilaksanakan adalah kerajaan memberi insentif atau galakan kepada majikan untuk memberikan pelepasan pekerja mereka mendapatkan dos penggalak.
“Kita sedia maklum selepas mendapatkan dos penggalak, kebanyakan mereka mengalami kesan sampingan seperti demam dan sebagainya.
“Jadi, mungkin majikan boleh beri cuti sakit atau cuti separuh hari untuk hari berikutnya (selepas vaksin) untuk pekerja,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!