[VIDEO] HRPZ II adakan pertemuan dengan keluarga bayi meninggal di hospital

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Pihak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) akan mengadakan pertemuan pada Isnin dengan waris keluarga yang mendakwa berlaku kecuaian ketika mendapatkan rawatan di hospital itu sehingga menyebabkan kematian kepada bayi berusia dua bulan, Jumaat lalu.

Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, pihaknya telah mengadakan siasatan melibatkan pakar perubatan, doktor serta jururawat yang bertanggungjawab dalam merawat bayi berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak dapat mendedahkan hasil siasatan yang diperoleh ketika ini dan hanya akan memaklumkan perkara itu kepada waris mangsa ketika pertemuan yang diadakan nanti.

"Sebaik sahaja isu ini dibangkitkan sehingga tular di media sosial kita telah mengarahkan mereka yang terlibat termasuk doktor pakar, doktor, jururawat serta jawatankuasa yang terlibat untuk meneliti perkara ini.

"Kita akan menjelaskan secara rasional mengenai setiap tindakan yang dilakukan terhadap bayi berkenaan ketika mendapatkan rawatan di hospital ini dan waris juga boleh bertanya segala persoalan kepada pihak hospital ketika pertemuan itu diadakan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sebelum ini, tular satu video menerusi Facebook milik 'Ola Ola' yang mendakwa bayinya berusia dua bulan meninggal dunia akibat kecuaian doktor di HRPZ II ketika memberikan rawatan.

Menerusi video yang meraih tontonan melebihi 60,000 itu juga, mangsa mendakwa anaknya dipaksa berpuasa selama lima hari selain turut diberikan susu yang telah tamat tempoh dan diberikan ubat tidur tanpa keizinannya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!