UMNO teruskan saman ADUN, Ahli Parlimen lompat parti
KUALA LUMPUR - UMNO menyangkal parti itu menarik balik tindakan untuk menyaman bekas ADUN dan Ahli Parlimen parti itu yang melompat parti atas masalah kos yang tinggi.
Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa sebaliknya, menegaskan bahawa UMNO akan meneruskan rancangan tersebut, malah parti komponen BN itu turut melantik firma guaman terkemuka untuk meneruskan tindakan berkenaan.
"Saman akan diteruskan, saya sudah berbincang dengan Tok Mat Hasan (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan) dan Bendahari Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk elak kekeliruan.
"Saya sudah sahkan, dengan peguam yang kendalikan kes, satu lagi firma guaman besar yang dipersetujui akan dilantik.
"Kita juga akan serah senarai nama penuh Ahli Parlimen dan ADUN yang melompat keluar dari UMNO," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.
Ahli Parlimen Ketereh itu menambah, beliau akan menulis surat kepada firma guaman tersebut esok dan akan menyerahkan senarai nama kesemua Ahli Parlimen dan ADUN yang telah bertindak melompat keluar akan didakwa oleh UMNO.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!