RM140,679 dalam bank dikebas 'Datuk Mohd Fazley'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang ahli perniagaan muda dan ibunya berputih mata apabila wang berjumlah RM140,679 di dalam akaun bank milik mereka lesap dikebas sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai ACP Datuk Mohd Fazley.

Mangsa yang berusia pertengahan 20-an dari daerah Machang itu membuat laporan polis pada Selasa lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, suspek menggunakan modus operandi penyamaran dan menghubungi mangsa dengan mendakwa ahli perniagaan tersebut serta ibunya itu terbabit dalam sindiket pelaburan haram.

“Pada 11 Februari lalu, mangsa menerima panggilan telefon suspek yang mengaku pegawai TM Point memberitahu identiti mangsa disalah guna untuk mendaftar talian kes jenayah siber sebelum disambungkan kepada dua suspek menyamar pegawai polis berpangkat Sarjan dan Inspektor.

“Hasil semakan ‘polis’ mendapati identiti mangsa turut terlibat kes pengubahan wang haram membabitkan satu sindiket pelaburan diketuai seorang individu yang mana mangsa dikatakan memindahkan wang RM400,000 ke akaun bank milik individu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, mangsa menafikan penglibatannya, namun dinasihatkan untuk meminta bantuan suspek bernama ACP Datuk Mohd Fazley yang berjanji akan membantu mangsa.

“Bagi membantu siasatan, mangsa diarahkan menyerahkan maklumat perbankan internet iaitu nama pengguna, kata laluan serta nombor kad mesin juruwang automatik (ATM) dan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) akaun bank miliknya serta ibunya atas alasan untuk siasatan, namun mengesahkan ibunya tidak terlibat dengan kes pelaburan dan pengubahan wang haram berkenaan.

“Mangsa kemudian mendapati sebanyak 15 transaksi pindahan wang berjumlah RM140,679 dilakukan dari akaun-akaun bank milik mangsa dan ibu tanpa pengetahuan termasuk wang hampir RM100,000 adalah daripada akaun bank milik ibunya antara tempoh 11 hingga 15 Februari lalu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, suspek mendakwa wang tersebut dipindah sementara ke Bank Negara Malaysia bagi tujuan siasatan dan akan dikembalikan semula.

“Mangsa bagaimanapun curiga apabila suspek menasihatkannya supaya membuat pinjaman bank untuk membesarkan perniagaan dan datang ke balai polis membuat laporan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara selama tempoh minimum setahun sehingga sepuluh tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!