'Everton kena kuat mental elak terus cicir mata'
PEMAIN Everton perlu meningkatkan kekuatan mental bagi mengelakkan kelab Merseyside itu terus berlegar di luar zon penyingkiran selepas tewas kepada Southampton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium St Mary's pada Sabtu lepas.
Pengendali The Toffees, Frank Lampard berkata, para pemainnya seolah-olah hilang tumpuan pada separuh masa pertama dan kedua selepas bermula baik dalam tempoh 15 minit kedua-dua babak tersebut.
“Perkara yang Southampton mahu lakukan dalam perlawanan ini adalah memenangi kembali bola di bahagian tengah dan serangan balas, dan itulah yang kami hadiahkan kepada mereka.
"Sejujurnya, saya amat tidak menyukai situasi tersebut yang akhirnya menyukarkan Everton meraih mata. Saya berada di sini disebabkan kelab ini berada dalam kedudukan yang tidak menentu pada masa ini.
"Ya, saya melihat perubahan positif dalam dua perlawanan di Goodison Park, namun dalam dua perlawanan di tempat lawan tidak begitu banyak," kata Lampard.
Kekalahan ke-13 liga itu menyaksikan The Toffees kini berada di kedudukan ke-16 dengan 22 mata kurang satu perlawanan - empat mata dibezakan dengan Watford pasukan tangga ke-18 zon penyingkiran.
Dalam perlawanan itu, gol Stuart Armstrong pada minit ke-52 diikuti jaringan pemain gantian Shane Long pada minit ke-82, sudah cukup menghadiahkan tiga mata buat The Saints kendalian Ralph Hasenhüttl.
Anak buah Lampard dijangka berdepan ujian getir apabila menyambut kehadiran pendahulu liga, Manchester City di Goodison Park pada Ahad ini.
Jelas Lampard lagi, kesilapan individu yang dilakukan bahagian pertahanan dan serangan memerlukan penyelesaian segera bagi mengelakkan kelab tersebut terus keciciran mata penting.
“Kesilapan individu memerlukan reaksi, bukan hanya reaksi cara bermain tetapi reaksi mentaliti dan saya tidak merasakan itu daripada mereka.
"Saya tahu setiap pemain Everton telah memberikan yang terbaik dan mahu bertindak balas selepas ketinggalan, namun kekuatan mental merupakan sesuatu keperluan apabila anda beraksi di tempat lawan yang mengamalkan corak permainan berintensiti tinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!