Ketua Polis Taiping baharu tekad teruskan aspirasi mantan
Itulah azam diluahkan Ketua Polis Daerah Taiping baharu, Asisten Komisioner Osman Mamat yang mahu meneruskan aspirasi mantan penggalas jawatan itu sebelum ini yang berkehendakkan anggota polis terus dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat.
Menurutnya, sebagai seorang bekas Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, Osman yang berasal dari Kelantan menyedari kepentingan tanggungjawab berat dipikul, namun yakin mampu menggalasnya berasaskan pengalaman sebelum ini.
"Saya juga berjanji akan menjaga kebajikan kesemua anggota IPD Taiping memandangkan saya juga bermula di peringkat bawahan sebagai konstabel sebelum menduduki jawatan terkini setelah 38 tahun berkhidmat sebagai polis.
"Pada masa sama, saya berjanji akan cuba mempertingkatkan disiplin kesemua anggota ke tahap optimum agar dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya kepada media sempena majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Daerah Taiping serta Pengerusi Perkep Daerah Taiping, hari ini.
Osman yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Taiping baharu berkuat kuasa hari ini, menyempurnakan majlis serah tugas jawatan itu daripada pemangkunya, Superintendan Razlam Ab Hamid sambil disaksikan Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Mazlan Santarai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!