Takashi Obata dilantik Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor
SHAH ALAM- Takashi Obata diantik sebagai Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor yang baharu berkuat kuasa 1 Februari lalu.
Mempunyai 30 tahun pengalaman dalam Toyota Motor Corporation, Obata adalah individu penting dalam perancangan produk syarikat di bahagian Perancangan Jualan dan Operasi serta bertanggungjawab ke atas perancangan produk pelbagai model jenama Toyota untuk pasaran global.
“Berbekalkan pengalaman yang ada, saya komited untuk memacu syarikat untuk berinovasi dan menyesuaikan diri dengan CASE (connected cars, autonomous driving, shared and electric) dan neutraliti karbon.
“Teknologi berkembang secara progresif dengan keperluan dan tanggungjawab yang semakin meningkat untuk menyesuaikan diri dengan CASE serta neutraliti karbon. Ini adalah keutamaan yang sedang diusahakan secara agresif oleh Toyota di peringkat global dan telah pun bermula di Malaysia dengan pelancaran model hibrid Toyota Corolla Cross baru-baru ini.
“Saya berbesar hati kerana telah diamanahkan peranan baharu ini untuk mengemudi perniagaan Toyota di Malaysia ke arah ini, bersama-sama Presiden UMW Toyota Motor, K. Ravindran.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyandang terdahulu, Akio Takeyama kerana meninggalkan legasi yang luar biasa semasa beliau bersama UMW Toyota Motor.
"Peranan ini sudah pasti mencabar tetapi saya yakin kita akan dapat mencapai lebih banyak lagi pencapaian pada tahun-tahun akan datang, terutamanya dengan sokongan padu daripada kerajaan Malaysia dan semua pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Di bawah kepimpinan Akio Takeyama, UMW Toyota Motor telah mencapai banyak pencapaian penting, termasuk pelancaran kilang pembuatan tercanggihnya di Bukit Raja yang kini diiktiraf sebagai kilang Toyota kualiti dan produktiviti nombor satu di Asia.
Selain itu, beliau turut membuat penstrukturan semula rangkaian jualan dan perkhidmatan di seluruh Malaysia dan pengenalan GAZOO Racing serta mengambil semula gelaran sebagai jenama automotif luar negara nombor satu selepas enam tahun serta berjaya memperkenalkan banyak model baharu Toyota.
Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor, K. Ravindran mengucapkan terima kasih kepada Takeyama di atas semua pencapaian yang mengagumkan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Ia adalah satu penghormatan untuk bekerja bersamanya, dengan semangat dan kecemerlangan automotifnya dan beliau memberi inspirasi kepada ramai serta meninggalkan legasi yang luar biasa.
“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Obata di atas pelantikannya sebagai Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor. Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengannya, di samping terus memacu jenama Toyota ke tahap yang lebih baharu dan mencapai lebih banyak pencapaian.
“UMW Toyota Motor bersedia untuk menerajui masa depan mobiliti melalui memperkayakan kehidupan dan masyarakat, sambil maju ke arah mobiliti untuk semua,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!