Konsep Sekolahku Sejahtera lahirkan generasi berdaya saing
PUTRAJAYA - Penerapan konsep Sekolahku Sejahtera bakal melahirkan generasi berdaya saing di peringkat dunia.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ia boleh dicapai menerusi 14 elemen Sekolahku Sejahtera yang diketengahkan kementerian.
"Konsep Sekolahku Sejahtera digagaskan sebagai satu kerangka yang memayungi pelbagai tema, inisiatif dan program sedia ada KPM berteraskan penerapan nilai murni," katanya.
Menurutnya, elemen tersebut tidak akan membebani murid dan guru sebalik diterap secara semula jadi dalam sesi pembelajaran dan pengajaran.
"Ini bukan mata pelajaran baharu, bukan juga sisipan serta tidak akan membebankan guru," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Sekolahku Sejahtera di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, elemen Sekolahku Sejahtera terdapat daripada selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi
"Konsep ini merupakan penjiwaan dan penerapan di sekolah yang perlu diberi penekanan khusus bagi membentuk generasi akan datang," katanya.
Mohd Radzi berkata, sekiranya guru mengajar mata pelajaran Sejarah dan mempunyai kaitan dengan 14 elemen, ia boleh diperjelaskan kepada murid.
"Begitu juga dengan elemen artikulasi, di mana murid diajar keupayaan untuk mengolah dan menyampaikan pandangan, hujahan atau huraian mengenai sesuatu perkara dengan jelas serta teratur berdasarkan fakta," katanya.
Ujarnya, sekiranya proses penerapan konsep Sekolahku Sejahtera dibuat awal, ia akan membentuk generasi akan datang yang lebih hebat.
"Pelaksanaan konsep ini akan dimulakan pada sesi persekolahan akan datang," katanya.
Konsep Sekolahku Sejahtera yang dilancarkan dirangka berteraskan prinsip dan hasrat bagi mewujudkan suasana sekolah yang selamat, aman, selesa, menggembirakan, membina dan inklusif ke arah mencapai kesejahteraan masyarakat.
Konsep ini juga akan memayungi pelbagai tema, inisiatif dan program KPM yang berteraskan penerapan nilai-nilai murni.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!