Mahasiswa bertanggungjawab sebagai duta halal Malaysia: Idris

Idris dalam ucapan tawsiyyah beliau pada majlis penutup Program Kesedaran Halal Bersama Mahasiswa Tahun 2022 secara dalam talian pada Isnin.
Idris dalam ucapan tawsiyyah beliau pada majlis penutup Program Kesedaran Halal Bersama Mahasiswa Tahun 2022 secara dalam talian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Mahasiswa selaku generasi terpelajar bertanggungjawab menjadi duta dan contoh kepada pengguna lain berkaitan pemilihan produk halal di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, mahasiswa perlu menerapkan pemikiran positif, berpengetahuan tinggi, bebas daripada pengaruh tidak jelas dan mencari maklumat yang tepat serta membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul.

Menurutnya, ini kerana, mereka merupakan golongan intelektual dan cerdik pandai terhadap perkembangan dunia termasuk isu halal terkini.

“Keistimewaan yang ada pada mahasiswa adalah sentiasa mempunyai sifat ingin tahu dan mengkaji.

“Penetapan prinsip tabayyun perlu menjadi benteng kepada golongan mahasiswa agar segala maklumat yang diperoleh sahih dan disahkan terlebih dahulu.

“Justeru, saya mengajak semua mahasiswa secara tidak langsung menjadi duta halal kepada keluarga, rakan sebaya dan komuniti masyarakat untuk memperkenalkan dan menyampaikan info yang tepat berkaitan halal Malaysia.

“Seterusnya, melazimi sikap mengkaji dan tabayyun terhadap isu halal serta sentiasa menyakini halal Malaysia adalah terbaik buat semua termasuk di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan tawsiyyah pada majlis penutup Program Kesedaran Halal Bersama Mahasiswa Tahun 2022 secara dalam talian pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Idris berkata, amalan mempercayai sesuatu perkara tanpa meneliti terlebih dahulu adalah pemikiran yang harus dibuang sebelum menjadi barah dalam daging masyarakat Malaysia.

Katanya, budaya negatif seperti terlalu cepat percaya khabar angin dan isu tular, ingin menjadi yang pertama dalam menyebarkan perkara yang tidak diketahui asal usulnya serta tidak mahu membuat semakan dan bertanya terlebih dahulu seharusnya dibuang daripada kamus kehidupan mahasiswa.

“Saya berharap anak-anak muda dapat memberikan suntikan dan rangsangan kepada mahasiswa lain, ahli keluarga dan masyarakat terhadap kepentingan serta keperluan mencari yang halal dalam segenap kehidupan.

“Peranan mahasiswa ketika ini adalah mempersiapkan diri dengan keilmuan yang tinggi, melatih sifat kepimpinan dalam diri dan menyemai budi pekerti mulia sehingga boleh disanjung oleh keluarga dan masyarakat.

“Dengan memiliki semua prinsip ini, mereka perlu ada rasa tanggungjawab untuk mendidik masyarakat dan komuniti sekeliling, misalnya menggunakan media sosial untuk menyampaikan ilmu sahih berhubung isu tular halal bagi mengelakkan salah faham masyarakat terhadap produk ini terus berlaku,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!