'Perjuangan suci' PN dalam PRN Johor

Gobi Krishnan semasa berucap dalam program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Felda Taib Andak, Kulai pada malam Ahad.
Gobi Krishnan semasa berucap dalam program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Felda Taib Andak, Kulai pada malam Ahad.
A
A
A

KULAI - Penyertaan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan satu 'perjuangan suci' kerana melawan kemungkaran yang dibawa UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pusat, S Gobi Krishnan berkata, rakyat Johor terutama pengundi tidak seharusnya bersekongkol sekali gus tidak membenarkan BN kembali memerintah di Johor.

"Sebagai satu perjuangan yang suci menentang BN dan juga Pakatan Harapan (PH), maka kita harus menang dalam PRN Johor tidak kira kita akan berdepan dengan siapa pun.

"Kita tentang UMNO dan BN kerana sifat mereka yang rakus, tamak dan mementingkan diri, langsung tidak memikirkan rakyat kerana memaksa kita semua berdepan dengan PRN Johor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Felda Taib Andak dekat sini pada malam Ahad.

Menerusi program tersebut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan melancarkan jentera PRN Johor bagi kawasan Kulai.

Mengulas lanjut, Gobi Krishnan berkata, semua parti komponen gabungan itu terdiri daripada Bersatu, Pas dan Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) perlu bergerak dalam satu pasukan di bawah panji PN.

Sementara itu, Yang Dipertua Pas Kawasan Kulai, Kamaruddin Sairan berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan pemimpin berjiwa besar kerana sanggup disingkirkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata mahu melawan kemungkaran.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Pengerusi PN itu merupakan pemimpin contoh yang prihatin rakyat, sanggup berkorban dan tidak pernah terpalit dengan kes rasuah, salah guna kuasa atau sebarang kes mahkamah.

"Begitu juga dengan kepimpinan tertinggi Pas, selama menjadi kerajaan bertahun-tahun (di Kelantan) tidak pernah ada kes, begitu juga parti Gerakan yang menjadi kerajaan selama 39 tahun di Pulau Pinang, bersih dan tiada kes," katanya.

Justeru katanya, PN adalah gabungan politik yang bersih dan sesuai bukan sahaja untuk negeri ini tetapi juga negara.

"Ini adalah mesej yang perlu disampaikan kepada rakyat jelata terutama pengundi di Kulai supaya mengundi PN," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!