Perak sedia bantu program pembiakan seladang
IPOH - Kerajaan Perak sedia membantu usaha membiakkanseladang liar yang kini diancam kepupusan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk menghalang populasi haiwan terus berkurangan.
Menurutnya, haiwan tersebut kini memang sukar ditemui di dalam hutan dan hanya boleh melihat secara dekat di dalam zoo seperti di Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS).
"Kita berbincang dengan Perhilitan dan JPV bagaimana untuk menghalang populasi itu daripada terus hilang kerana haiwan ini adalah antara tarikan penting kepada pelancong.
"Walaupun usaha ini bukan mudah namun kita kita akan usahakan untuk berbincang bagaimana untuk melakukannya," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Rangkaian Infrastruktur Jalur Lebar Allo Technology Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina @ Meru, di sini pada Isnin.
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Hasan Arifin; Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din serta Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed.
Saarani berkata, usaha kini perlu digerakkan bagi mengenalpasti lokasi yang masih terdapat haiwan tersebut serta habitat sesuai untuk haiwan tersebut dibiakkan.
Laporan Sinar Harian pada Ahad menyatakan bahawa spesies lembu liar itu kini berada dalam keadaan terancam dan akan pupus sepenuhnya jika tiada usaha yang serius dilakukan untuk menyelamatkannya.
Jumlah seladang liar kini dianggarkan sekitar beberapa ratus ekor sahaja dan hanya boleh dijumpai di kawasan utara Semenanjung Malaysia dalam beberapa kelompok kecil yang terpisah dan tidak dapat bertemu untuk membiak.
ZTNS sebelum ini juga telah menggerakkan program pembiakan seladang sejak 1998 dalam usaha melindungi populasi spesies terancam itu.
Pengarahnya, Dr Kevin Lazarus berkata, program dengan kerjasama Perhilitan itu berjaya membiakkan enam ekor anak seladang.
Menurutnya, sebahagian daripada anak seladang berkenaan ditempatkan di beberapa zoo di negara ini di bawah program pembiakan khas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!