Buka sempadan: 500 pemandu pelancong MWTGA sudah bersedia

Erina (dua dari kanan) pada majlis menandatangani MoU antara Kolej Sentral Pulau Pinang bersama MWTGA sambil disaksikan Soon Hin pada Isnin.
Erina (dua dari kanan) pada majlis menandatangani MoU antara Kolej Sentral Pulau Pinang bersama MWTGA sambil disaksikan Soon Hin pada Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 500 pemandu pelancong dari Persatuan Pemandu Pelancong Wanita Malaysia (MWTGA) bersedia untuk berkhidmat sekiranya pintu sempadan negara dibuka sepenuhnya pada awal suku kedua tahun ini.

Pengerusi MWTGA, Erina Loo berkata, semua pemandu pelancong dari persatuan berkenaan berpengalaman selain mempunyai pengetahuan tinggi dalam pelbagai sudut termasuk lokasi dan sejarah sesebuah bangunan.

Katanya, kebanyakan pelancong terutama dari Eropah menginginkan pemandu pelancong yang mempunyai pengetahuan tinggi untuk memastikan perjalanan mereka di negara ini berjalan lancar.

"Ahli persatuan bersedia untuk menerima kedatangan pelancong dari luar negara apabila pintu sempadan dibuka nanti.

"Dari maklumat yang diterima daripada agensi pelancongan luar negara, pelancong dari Eropah pada masa ini hanya menanti waktu yang sesuai untuk kembali melancong ke Malaysia.

"Jika disebut persediaan dari segi lesen, kami semua bersiap sedia untuk menyambut ketibaan pelancong asing ke negara ini," katanya pada sidang akhbar selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej Sentral Pulau Pinang dan MWTGA di Kolej Sentral Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Turut hadir, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE), Yeoh Soon Hin.

Tambah Erina, agensi pelancongan dari Eropah tidak membatalkan tempahan pelancongnya sepanjang penularan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Mereka hanya menunggu untuk datang melancong ke sini semula," katanya.

Sebelum ini, kerajaan menjangkakan membuka pintu sempadan negara sepenuhnya pada awal suku kedua tahun 2022 selepas selesai menyediakan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) tidak lama lagi.

Mengulas mengenai MoU bersama Kolej Sentral Pulau Pinang, Erina berkata, ia bertujuan untuk menjana lebih banyak peluang dalam membangun dan memperkayakan program latihan berkaitan pelancongan.

"Selain itu, objektif memorandum ini juga dilihat sebagai penanda aras amalan terbaik dalam industri pelancongan membabitkan pemandu pelancong.

"Kita yakin, dengan termeterainya memorandum ini, ia dapat meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan yang ada pada pemandu pelancong dalam menyampaikan maklumat mengenai produk pelancongan kepada pelancong," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!