Kerajaan peruntuk RM3 juta bina bangunan baharu PPK Bukit Awang

Nik Muhammad (dua dari kiri) menyampaikan replika cek bernilai RM3 juta kepada Pengerusi PPK Bukit Awang, Mohd Agil Awang (kanan) di Pasir Puteh pada Isnin.
Nik Muhammad (dua dari kiri) menyampaikan replika cek bernilai RM3 juta kepada Pengerusi PPK Bukit Awang, Mohd Agil Awang (kanan) di Pasir Puteh pada Isnin.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kerajaan memperuntukkan RM3 juta untuk kerja-kerja pembinaan bangunan baharu Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Awang di sini yang sudah berusia 44 tahun.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pembinaan tersebut tepat pada masanya kerana kemudahan sedia ada di PPK yang dibina pada tahun 1978 itu sudah uzur.

"Cadangan untuk membina bangunan ini telah dikemukakan semasa saya menjadi Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan panjangkan perkara tersebut kepada Kementerian Kewangan," katanya selepas menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin di pekarangan Pejabat Ahli Parlimen Pasir Puteh di sini pada Isnin.

Seramai 300 penerima sumbangan terdiri daripada golongan B40 yang merupakan ahli PPK iaitu PPK Tiga Daerah, PPK Bukit Awang, PPK Semerak dan petugas barisan hadapan.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Operasi LPP, Nik Mohd Shahril Nik Md Hashim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ismail.

Menurutnya, bangunan itu dijangka akan memberikan nafas baharu kepada PPK berkenaan selaku pembekal utama cili kepada syarikat Nestle Malaysia.

Beliau berkata, PPK Bukit Awang dilihat layak menerima peruntukan itu memandangkan mereka mencatatkan keuntungan yang besar hasil projek berkenaan.

Ahli Parlimen Pasir Puteh itu berkata, projek tersebut turut melibatkan pembinaan dewan dalam memudahkan pelbagai aktiviti dan kegiatan dilakukan di PPK Bukit Awang.

Artikel Berkaitan:

"Saya turut akan memberikan tumpuan kepada beberapa lagi PPK yang berada di bawah Parlimen Pasir Puteh," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!