Penjaja di lampu isyarat boleh mohon tempat lebih sesuai

Sze Han (tengah) semasa menyerahkan lesen sementara kepada 120 peniaga di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan pada September tahun lalu.
Sze Han (tengah) semasa menyerahkan lesen sementara kepada 120 peniaga di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan pada September tahun lalu.
A
A
A

KLANG - Penjaja di persimpangan jalan dan lampu isyarat di sekitar negeri ini diminta untuk membuat permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan di tapak lebih sesuai dan strategik.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, langkah itu bagi mengekang aktiviti berniaga di lampu isyarat disifatkan membahayakan keselamatan peniaga dan pengguna jalan raya.

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil berat mengenai kebajikan peniaga kecil malah ramai penjaja di Selangor diberikan lesen sementara dengan pengecualian bayaran permit sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sepanjang tempoh PKP, kerajaan negeri bersama PBT cuba membantu semua golongan rakyat yang perlu mencari rezeki, kita beri banyak lesen sementara kepada lebih 10,000 penjaja tepi jalan.

"Tentang isu penjaja yang menjual buah-buahan di simpang jalan, saya nampak ia melibatkan isu keselamatan dan isu kedua, adalah penglibatan warga asing dan itu kita perlu bantuan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Imigresen.

"Bagi mereka khususnya warga tempatan yang memerlukan tapak perniagaan saya mengalu-alukan mereka untuk datang ke PBT berbincang bagi menentukan tapak sesuai dan selamat menjalankan perniagaan, kami sedia beri bantuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penghargaan Klang Sejahtera Ke Arah Pembangunan Mampan 2021/2022 di Majlis Perbandaran Klang, di sini, pada Ahad.

September tahun lalu, PBT di Selangor mengeluarkan sebanyak 8,300 lesen sementara dengan pengecualian bayaran permit dikeluarkan kepada penjaja di Selangor antara Ogos 2020 hingga September 2021.

Artikel Berkaitan:

Sze Han selepas menyerahkan lesen sementara kepada 120 peniaga di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan ketika itu, berkata, lesen sementara itu diberikan bagi memudahkan individu terkesan akibat Covid-19 menjalankan perniagaan mereka.

Menurutnya, berdasarkan data jabatan statistik, bilangan pengangguran telah meningkat kepada sebanyak 4.8 peratus pada suku kedua tahun lalu dengan lebih 750,000 orang tiada pekerjaan.

"Daripada jumlah ini, 4.4 peratus direkodkan di negeri Selangor dan bagi meringankan beban rakyat, kerajaan negeri melalui pihak PBT telah mengeluarkan lesen sementara itu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!