[VIDEO] Laung azan ketika bumbung rumah diterbangkan ribut

Iting Bakar menunjukkan keadaan bumbung rumahnya di Kampung Nai Teh, di sini yang rosak akibat angin ribut pada petang Ahad.
Iting Bakar menunjukkan keadaan bumbung rumahnya di Kampung Nai Teh, di sini yang rosak akibat angin ribut pada petang Ahad.
A
A
A

KUALA NERANG - Lebih 10 keluarga dari dua buah kampung di mukim Padang Temak, di sini berdepan detik cemas apabila rumah mereka dipukul ribut pada petang Ahad.

Kejadian yang berlaku jam 5 petang itu menyebabkan bumbung kediaman penduduk di Kampung Sena dan Kampung Nai Teh rosak dan diterbangkan angin kuat.

Penduduk Kampung Sena, Mimi Mastura Saiadin, 33, memberitahu, mereka panik kerana ribut datang secara tiba-tiba.

Mimi Mastura Saiadin melihat keadaan bumbung rumah di Kampung Sena, di sini, yang diterbangkan angin.
Mimi Mastura Saiadin melihat keadaan bumbung rumah di Kampung Sena, di sini, yang diterbangkan angin.

“Pada mulanya, bumbung rumah yang terangkat sedikit sahaja sebelum angin kuat melanda menyebabkan sebahagian bumbung di bahagian dapur dan bilik rosak.

“Ribut kencang melanda reda selepas adik saya, Mohd Akmal, 29, melaungkan azan ketika bahagian atap zink rumah kami diterbangkan angin dalam kejadian ribut itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sena, di sini, pada Isnin.

Katanya, angin kencang disusuli ribut dan hujan lebat selama lima minit terbabit turut menyebabkan barangan keperluan seperti kipas angin turut rosak.

Bagi mangsa ribut dari Kampung Nai Teh, Timah Bakar, 59, dia terkejut apabila mendapati bumbung rumahnya terbang entah ke mana dan hanya nampak langit sahaja.

Artikel Berkaitan:

Timah Bakar
Timah Bakar

Timah mengakui trauma dengan kejadian ribut kuat yang berlaku buat kali pertama itu, bagaimanapun dia reda dengan dugaan menimpa mereka.

Katanya, mereka sekeluarga menganggarkan nilai kerosakan bumbung di bahagian ruang tamu dan bilik utama akibat kejadian itu mencecah RM20,000.

Menurut suaminya, Hassan Napiah, 61, dia sedang solat Asar di masjid ketika ribut melanda rumah mereka.

Keadaan bumbung rumah Hassan Napiah dan isterinya Timah Bakar di Kampung Nai Teh, di sini, yang rosak akibat dilanda ribut dalam kejadian pada petang Ahad.
Keadaan bumbung rumah Hassan Napiah dan isterinya Timah Bakar di Kampung Nai Teh, di sini, yang rosak akibat dilanda ribut dalam kejadian pada petang Ahad.

“Selain rumah kami, bumbung Masjid Kampung Nai Teh berhampiran rumah kami turut diterbangkan angin,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Iting Bakar, 63, berkata, dia yang sedang duduk berehat di bahagian dapur turut tergamam apabila terdengar angin kencang secara tiba-tiba.

“Kemudiannya, saya terdengar bunyi kuat secara berterusan seakan-akan bunyi letupan bunga api sebelum berlari ke bahagian hadapan untuk melihat apa berlaku dan mendapati bumbung rumah rosak teruk,” katanya.

Sementara itu, Rozali Awang Hamat, 57, berkata, dia tidak sempat berbuat apa-apa disebabkan kejadian ribut berlaku dalam sekelip mata.

Sebahagian bumbung kediaman Rozali Awang Hamat yang diterbangkan angin di Kampung Nai Teh, di sini.
Sebahagian bumbung kediaman Rozali Awang Hamat yang diterbangkan angin di Kampung Nai Teh, di sini.

“Ketika saya cuba menutup tingkap, saya dapati bumbung bahagian bilik air telah tiada dan diterbangkan angin,” katanya.

Rozali berkata, dia kini buntu memikirkan kos membaiki bumbung rumahnya yang dianggarkan lebih kurang RM7,000.

“Tidak lama lagi, kami merancang untuk mengadakan kenduri namun kini buntu apabila sebahagian bumbung rumah rosak dan perkakas kediaman terkena hujan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!