'Harap jasad abang dijumpai segera'

Anggota Maritim Malaysia giat melakukan operasi mencari dan menyelamat Fadzely yang dikhuatiri lemas di perairan Karang Tanjung Pelindung pada Sabtu
Anggota Maritim Malaysia giat melakukan operasi mencari dan menyelamat Fadzely yang dikhuatiri lemas di perairan Karang Tanjung Pelindung pada Sabtu
A
A
A

KUANTAN - Seluruh ahli keluarga berdoa mengharapkan jasad Fadzely Mohamed yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki bersama rakannya terbalik akibat tersangkut pada tali bot pukat tunda di perairan Karang Tanjung Pelindung dua hari lalu ditemui segera.

Nurul Asyikin Mohamed, 38, adik kepada Fadzely berkata, seluruh ahli keluarga reda jika ditakdirkan abangnya telah meninggal dunia.

Menurutnya, namun tetap mengharapkan jasad abang ditemukan untuk dikebumikan.

"Saya harap abang dijumpai sama ada hidup atau pun mati. Saya kasihan melihat mak, ayah dan anak saudara demam kerana teringat abang, jika jumpa jasad abang sekurang-kurangnya kerinduan itu terubat.

"Jadi, saya minta semua orang mendoakan jasad abang dijumpai, kalau sudah tersurat (lemas) kami reda tapi kalau boleh, jika mati biarlah berkubur," katanya ketika ditemui di pantai Kampung Baru Beserah pada Isnin.

Ditanya mengenai perubahan sikap Fadzely sebelum kejadian itu, Nurul Asyikin berkata, abangnya yang masih belum berumah tangga itu kelihatan semakin pendiam berbanding sebelum ini begitu peramah.

Katanya, malah perbuatan tidak seperti kebiasaan apabila dilihat sering membaiki bot milik ayahnya tanpa disuruh dan turut mengatakan hasratnya untuk sama-sama turun ke laut bersama-sama ayahnya Mohamed Abas, 70.

"Ayah ada cerita, abang memang teringin ke laut bersamanya (ayah) dan mahu mencari modal untuk membaiki bot rosak. Namun impian itu tidak kesampaian apabila dia (abang) akan terlibat dalam tragedi bot karam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nurul Asyikin (kiri) bersama ahli keluarganya sabar menanti penemuan jasad Fadzely di Pantai Kampung Baru Beserah pada Isnin.
Nurul Asyikin (kiri) bersama ahli keluarganya sabar menanti penemuan jasad Fadzely di Pantai Kampung Baru Beserah pada Isnin.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan Fadzely, 40, dikhuatiri lemas manakala rakannya, Abdul Mutalib Abdul Rahman, 38, berjaya diselamatkan dalam satu kejadian bot terbalik disebabkan kipas enjin bot terkena pukat tunda di perairan Karang Tanjung Pelindung pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, mangsa, Fadzely bersama Abdul Mutalib keluar memancing kira-kira jam 7 pagi dengan menaiki sebuah bot gentian kaca.

Kipas enjin bot yang mereka naiki terkena tali keroncong sebuah bot pukat tunda yang sedang menunda pukat di kawasan perairan itu dan menyebabkan kedua-duanya jatuh ke dalam laut dan tenggelam di bawah bot.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Carilamat dan Bantuan Bencana, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Leftenan Komander Maritim Mahathir Ismail berkata, pencarian sudah memasuki hari ketiga melibatkan operasi pencarian seluas 140 batu nautika persegi di perairan Karang Tanjung Pelindung.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat ini melibatkan aset udara dan laut dengan penglibatan agensi Maritim Malaysia, Polis Marin serta bantuan bot nelayan.

"Kita menghadapi pelbagai kesukaran dalam pencarian dan kemungkinan untuk mangsa terselamat adalah tipis. Namun kita masih berusaha untuk mencari sekiranya ada menjumpai jasad mangsa untuk dibawa balik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!