Tujuh tekong 'kantoi' jual diesel pada nelayan asing
TUMPAT - Taktik tujuh tekong tempatan menyorokkan 24,800 liter minyak diesel bersubsidi menggunakan tempat penyimpanan ikan yang dijadikan sebagai tangki tambahan untuk dijual kepada nelayan asing di kawasan perairan negara berjaya dipatahkan anggota penguat kuasa di negeri ini.
Kesemua tujuh buah bot kelas A itu ditahan pada jam 7.30 malam menerusi Operasi Bersepadu antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan dengan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di jeti pasukan berkenaan pada Ahad.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Afendi Juri berkata, rampasan itu hasil maklumat risikan yang dilakukan selama seminggu berkait dengan kegiatan tersebut.
"Hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut telah membawa kepada penemuan bahan api itu yang melebihi kapasiti asal iaitu 1,000 liter untuk setiap bot.
"Bila diperiksa, pihak kami mendapati ada bot yang mempunyai simpanan diesel sebanyak 6,500 liter," katanya semasa sidang media di Jeti PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di sini pada Ahad.
Hadir sama Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad.
Menurutnya, hasil soal siasat kesemua nelayan berusia antara 30 hingga 50 tahun itu mengaku bahan api bersubsidi itu dijual kepada bot nelayan asing di kawasan perairan negara.
Beliau berkata, nelayan tersebut turut mengaku harga jualan di tengah laut yang tinggi mendorong mereka mengambil kesempatan tersebut.
Azanizam berkata, tindakan tersebut amat tidak bertanggungjawab seolah-olah 'merompak' hasil subsidi negara.
"KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan barangan subsidi negara.
"Nilai rampasan bahan api itu dianggarkan berjumlah RM45,871, sementara kesemua bot kelas A itu bernilai RM1.25 juta.
"Kes ini akan disiasat bawah Seksyen Akta Bekalan 1961," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!