Perlu fokus keberkesanan elemen nilai, kesejahteraan dalam pendidikan

Anuar Ahmad
Anuar Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran untuk memberikan fokus terhadap keberkesanan berkaitan pelaksanaan elemen nilai dan kesejahteraan dalam sistem pendidikan negara.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, ini kerana, kajian-kajian pendidikan menunjukkan memang wujud ketidakberkesanan dalam penerapan elemen itu.

Menurutnya, isu silibus yang berat dan padat serta pembelajaran yang terlalu berpusat peperiksaan antara faktor utama usaha untuk membina kesejahteraan murid-murid terpinggir.

“Sepatutnya menteri mengambil peluang sesi pelancaran 'Sekolahku Sejahtera' pagi tadi (Isnin) bagi membentangkan Pelan Tindakan Kesejahteraan Murid untuk dilaksanakan di semua sekolah secara lebih teratur dan mapan, itu lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Isnin, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin melancarkan konsep Sekolahku Sejahtera dengan matlamat untuk melahirkan generasi berdaya saing di peringkat dunia.

Katanya, ia boleh dicapai menerusi 14 elemen Sekolahku Sejahtera yang diketengahkan kementerian.

Bagaimanapun, jelas Anuar, semua elemen sejahtera tersebut sebenarnya memang telah sedia ada dalam amalan pendidikan di sekolah.

“Ia termasuk dalam pendidikan Islam, moral, bahasa Melayu, sains, matematik, kesihatan dan jasmani, dokumen sisipan nilai murni dan juga dalam dokumen Peraturan TataTertib Sekolah.

Artikel Berkaitan:

“Contohnya, 'sihat' memang ada dalam pendidikan kesihatan dan jasmani, ‘artikulasi' ada dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, manakala 'eksplorisasi' serta 'rasional atau logik' ada dalam sains dan matematik.

“Hampir satu jam saya menekuni satu persatu apa itu 14 elemen sejahtera. Apa perkara yang baharu? Jawapannya, tiada,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!