BN pertaruh 30 peratus calon muka baharu
JOHOR BAHRU - Barisan Nasional (BN) akan mempertaruhkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon muka baharu dan golongan muda untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, parti itu kini berada di fasa akhir untuk memuktamadkan calon-calon yang akan dipilih daripada setiap komponen.
“Kita sudah di peringkat akhir memuktamadkan calon-calon dan saya melihat secara umumnya Johor akan mempunyai jumlah muka baharu ramai termasuk calon muda di bawah 40 tahun.
“Saya yakin ia akan dapat memperkuatkan peluang BN untuk berjaya pada PRN Johor. Sekurang-kurangnya 30 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir menyempurnakan Majlis Apresiasi Kepada Penyumbang Sektor Agromakanan Negeri Johor 2022 di sebuah hotel di sini, pada Isnin.
Hasni berkata, pengumuman semua calon bagi 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi BN akan dibuat secara rasmi pada 24 Februari ini.
Sebelum ini, media melaporkan BN khususnya UMNO akan melakukan perubahan dengan mempertaruhkan idea kemasukan calon baharu yang dituntut akar umbi parti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!