Ukraine nafi bedil kemudahan Rusia di sempadan
KRAMATORSK - Tentera Ukraine pada Isnin menafikan tuduhan ia membedil kemudahan yang digunakan oleh Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) di sempadan.
"Kami tidak boleh menghalang mereka daripada mengeluarkan berita palsu seperti ini. Tetapi, Kiev mahu tegaskan kami tidak menyasarkan infrastruktur orang awam atau ke kawasan lain di wilayah Rostov seperti didakwa Moscow," ujar jurucakap tentera Ukraine, Pavlo Kovalchuk.
Terdahulu, Kremlin mendakwa bedilan dilancarkan dari Ukraine telah memusnahkan kemudahan awam tersebut.
"Pada jam 9.50 pagi (waktu tempatan), sebuah projektil tidak dikenali dilancarkan dari Kiev dan menyebabkan struktur di wilayah Rostov yang terletak kira-kira 150 meter dari sempadan Rusia-Ukraine musnah," menurut perkhidmatan keselamatan itu dalam satu kenyataan.
Ia turut mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu malah jurutera tentera Rusia telah dikerah ke lokasi kejadian.
Rakaman video dikeluarkan FSB juga menunjukkan struktur bangunan itu yang musnah akibat bedilan tersebut.
Pada minggu lalu, perintah darurat diumumkan di wilayah selatan tersebut setelah kumpulan orang awam dipindahkan dari wilayah dikuasai kumpulan pemisah pro-Rusia susulan ketegangan yang semakin meningkat. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!