E-Desa platform usahawan luar bandar KPLB pasarkan produk

Mahdzir (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen persefahaman pada Majlis Pelancaran platform e-Desa di Kuala Lumpur pada Isnin.
Mahdzir (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen persefahaman pada Majlis Pelancaran platform e-Desa di Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan 20,000 usahawan berdaftar dengan aplikasi e-dagang iaitu e-Desa yang dibangunkan khusus untuk industri kecil dan sederhana (IKS) di luar bandar menjelang hujung tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, seramai 500 usahawan luar bandar telah mendaftar setakat ini dan menjangkakan ia akan meningkat kepada 1,000 orang pada Ramadan dan 20,000 orang menjelang hujung tahun.

Justeru, beliau mengharapkan usahawan IKS di bawah KPLB dan agensinya untuk merebut peluang ini dengan mendaftar bersama platform e-Desa bagi memasarkan produk masing-masing.

“Kementerian melihat e-Desa berpotensi untuk berkembang sebagai platform pemasaran produk usahawan luar bandar. Ia secara tidak langsung menjadi platform tambahan kepada program Desa Mall@KPLB yang menjadi platform usahawan tempatan berniaga secara dalam talian dan fizikal.

“Platform e-Desa boleh bersama-sama KPLB memainkan peranan untuk kesejahteraan rakyat iaitu bagaimana nak meningkatkan pendapatan dan hasil masyarakat luar bandar khususnya peniaga kecil.

“Agensi di bawah KPLB juga bersedia untuk membantu penduduk luar bandar meningkatkan pendapatan mereka melalui platform ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Platform e-Desa di sini pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan; Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Pengarah Urusan e-Desa, Saiful Zaharin Zakariya.

Jelas Mahdzir, KPLB mempunyai banyak agensi yang memberi pinjaman, geran dan khidmat nasihat kepada peniaga kecil dan usahawan di luar bandar untuk dimanfaatkan.

Artikel Berkaitan:

“Diharap e-Desa akan memberi peluang dan ruang kepada produk 'orang kampung' dipasarkan dengan lebih meluas dan bakal menjadi aplikasi wajib bagi setiap rakyat Malaysia terutama untuk mendapatkan produk serta perkhidmatan buatan tempatan,” ujar beliau.

Platform e-Desa dibangunkan oleh pasangan suami isteri yang juga usahawan, Saiful Zaharin Zakariya dan Fadhilah Azmi dari Kuala Nerang, Kedah.

Ia merupakan aplikasi e-dagang yang memfokuskan jualan produk dan perkhidmatan IKS termasuk pertanian, hasil laut, makanan, inap desa, barang mentah dan buah-buahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!